Agong berkenan terima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Tetap NPC China

Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Zhao Leji dan delegasinya di Istana Negara pada Jumaat. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Zhao Leji dan delegasinya di Istana Negara pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China ke-14, Zhao Leji dan delegasinya di Istana Negara di sini.

Zhao, yang mengetuai delegasi lapan anggota, tiba pada jam 3 petang dan meluangkan masa kira-kira 30 minit bertemu Yang di-Pertuan Agong.

Anggota delegasi termasuk Naib Menteri Luar China, Deng Li; Setiausaha Agung Jawatankuasa Tetap NPC, Liu Qi; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Kewangan dan Ekonomi NPC, Zhong Shan dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dan Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala), Datuk Norman Muhamad.

Zhao, yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Malaysia sehingga Sabtu, melawat Johari di Parlimen, pada Khamis dan akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Beliau juga akan ke Melaka, termasuk lawatan ke Jonker Walk, Muzium Warisan Baba & Nyonya dan Selat Melaka sebelum berlepas ke Beijing pada Sabtu.

Malaysia adalah persinggahan terakhir Zhao dalam lawatan tiga negara selepas Morroco dan Senegal. - Bernama