Melaka tubuh Jawatankuasa Prestasi Hasil Negeri

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri akan menubuhkan Jawatankuasa Prestasi Hasil Negeri bagi menggubal dasar berkaitan percukaian negeri, pentadbiran tanah, kaedah meningkatkan kutipan hasil dan menilai prestasi hasil negeri dari semasa ke semasa, kata Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Beliau berkata, jawatankuasa khas itu juga akan menilai isu dan kekangan berkaitan kutipan hasil selain mencari sumber baharu dan kaedah untuk menerokanya agar ia dapat menyumbang kepada peningkatan hasil.

Katanya, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh beliau sendiri dan dianggotai Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan 15 Ketua Jabatan yang terlibat dalam kutipan hasil negeri.

"Sehingga hari ini sebenarnya kalau mengikut rekod terkini dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Melaka mempunyai lebihan sekitar RM30 juta kutipan hasil atau lima peratus berbanding perbelanjaan.

"Pengurusan perbelanjaan kutipan hasil perlu dibelanjakan secara berhemah dan pada masa sama perlu sentiasa ditingkatkan melalui pelbagai sumber sedia ada dan baharu agar dapat dipulangkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk khususnya pembangunan," katanya pada sidang akhbar MMKN di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara sumber baharu yang akan dinilai ialah kedudukan semua pulau di negeri itu agar ia boleh diterokai khususnya bagi sektor pelancongan sekali gus menyumbang pada pendapatan negeri.

Katanya, status tanah terbiar di kawasan luar bandar juga dilihat antara sumber baharu yang boleh dibangunkan dengan pelbagai aktiviti yang boleh meningkatkan kutipan hasil sedia ada.

Dalam perkembangan lain, Adly berkata, kedatangan pelancong ke Melaka merekodkan peningkatan kira-kira 3.41 peratus kepada 9.05 juta orang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini bermula Jan lepas berbanding 8.75 juta orang dalam tempoh sama tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata lima negara yang merupakan pasaran pelancong asing terbesar bagi sektor pelancongan Melaka ialah China (1.14 juta orang), Singapura (517,623 orang), Indonesia(250,316 orang), Taiwan (116,788 orang) dan Hong Kong (103,807 orang).

"Kita yakin sasaran 20 juta pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2019 mampu dicapai berdasarkan pelbagai inisiatif dan usaha yang giat dilaksanakan kerajaan negeri dengan kerjasama pemain industri pelancongan di negeri ini," katanya. - Bernama