Kaji secara terperinci sebelum perkenal semula bas mini: DBKL

DBKL memaklumkan kajian terperinci bersama agensi terlibat perlu dilakukan sebelum perkhidmatan bas mini boleh dilaksanakan semula di ibu negara selepas dihentikan 21 tahun lalu. (Gambar kecil: Nor Hisham)
DBKL memaklumkan kajian terperinci bersama agensi terlibat perlu dilakukan sebelum perkhidmatan bas mini boleh dilaksanakan semula di ibu negara selepas dihentikan 21 tahun lalu. (Gambar kecil: Nor Hisham)
A
A
A

KUALA LUMPUR- Kajian terperinci bersama agensi yang terlibat perlu dilakukan sebelum perkhidmatan bas mini boleh dilaksanakan semula di ibu negara selepas dihentikan 21 tahun lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, kajian itu bukan sahaja membabitkan agensi kerajaan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sebagainya namun harus juga melibatkan pengguna.

Menurutnya, kemunculan pengangkutan awam yang menjadi nostalgia bagi warga kota sejak 1970-an itu sedikit sebanyak katanya mungkin mampu mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan awam di Kuala Lumpur.

“Bas mini ni bagi saya satu nostalgia...sama ada kemunculannya nanti berjaya tingkatkan kemudahan pengangkutan awam atau tak bergantung kepada pihak yang menguruskannya.

“Saya tak mahu keadaannya seperti bas mini dulu yang mana pemandu sibuk kejar trip dan tak kisah keselamatan penumpang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Nor Hisham berkata, bas yang disediakan nanti perlu mementingkan keselesaan penumpang dari pelbagai aspek.

Katanya, jika dulu ‘keselamatan’ dan keselesaan pengguna seolah-olah tidak dipedulikan namun apabila diperkenalkan keadaannya perlu berubah.

“Kalau kita ingat balik dulu penumpang yang naik bas mini kena tunduk sebab silingnya rendah.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang ni kalau nak buat bas mini kenalah selesa jangan keadaannya macam zaman dulu,” katanya.

Semalam media melaporkan selepas hampir 21 tahun dihentikan, perkhidmatan bas mini akan membuat kemunculan semula di ibu negara mulai bulan depan.

Rapid KL akan mengadakan perkhidmatan bas mini percubaan dari hab Bukit Indah ke Ampang Point, menerusi Jalan Rasmi dari 1 September hingga 29 November.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Muhammad Yazurin Sallij, berkata bas mini itu, yang boleh membawa 31 penumpang di dalam setiap bas, akan beroperasi dengan kekerapan 15 minit (waktu puncak) dan 25 minit (luar waktu puncak) dari jam 5.30 pagi hingga jam 11.40 malam.

Ia sebahagian daripada inisiatif Rapid Bus untuk memberi perkhidmatan lebih baik dan kerap kepada penumpang.