Erti merdeka yang sebenar
LUSA kita bakal meraikan Hari Kebangsaan yang ke-62. Kalau ditanya secara umum tentang Hari Kebangsaan, jawapan yang biasa didengar sudah tentulah merdeka dan kemerdekaan.
Mudah kerana semua orang tahu dan telah diajar bahawa pada detik 31 Ogos itulah negara telah bebas daripada cengkaman penjajah dan memungkinkan kita membentuk negara bangsa sendiri.
Semenjak 62 tahun itu jugalah merdeka daripada penjajahan telah menjadi satu leksikon sambutan Hari Kebangsaan. Sambutannya dipenuhi dengan pengisian sejarah perjuangan rakyat berbilang kaum di Malaysia dalam perjuangan menuntut kemerdekaan yang turut diselang-selikan dengan program-program bersifat patriotik dan kenegaraan. Begitulah lazimnya.
Namun begitu, berapa ramai dalam kalangan rakyat negara ini yang benar-benar faham dan menghayati makna sebenar merdeka dan kemerdekaan itu? Apakah kemerdekaan hanya sekadar retorik pengisahan sejarah semata-mata? Atau sekadar catatan peringatan agar semua tidak lupa dan terlepas pandang daripada menyambutnya. Kalaulah sedemikian, maka wajar untuk semua pihak mengambil sedikit waktu merenung dan menghayati makna merdeka dalam erti kata yang sebenar.
Merdeka bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal semata-mata. Malah merdeka daripada penjajahan tidak mutlak sifatnya. Lihatlah berapa banyak negara yang mencapai kemerdekaan secara fizikal, tetapi masih lagi dijajah secara bukan fizikal. Kepesatan teknologi hari ini telah memudahkan ancaman penjajahan bentuk baharu terutamanya dalam bentuk budaya dan pemikiran. Benar penjajah sudah lama pergi. Tetapi budaya dan pemikiran mereka masih kental mencengkam setiap aspek bernegara daripada sistem politik, ekonomi ataupun sosial.
Jadi, apakah erti kata merdeka atau kebebasan yang sebenar? Alexis de Tocqueville dalam bukunya Democracy in America (1835) melihat kebebasan (kemerdekaan) sebagai sesuatu yang boleh dan sering merosakkan. Walaupun begitu, kebebasan sentiasa akan membuka jalan untuk pembinaan semula dan apa yang dibina dengan kebebasan selalunya akan kekal lama. Namun, menurut Tocqueville, akhlak dan dan agama adalah pra syarat kepada kebebasan kerana kebebasan tanpa akhlak adalah tidak bermakna, dan akhlak tanpa agama tiada gunanya.
Jati diri
Perkara itu juga dipersetujui oleh Pendeta Agung Za’ba. Sebab itu beliau mencirikan konsep merdeka sebagai 'berubah daripada segala perbuatan dan kepercayaan yang bodoh, mematikan akal dan menyekat kemajuan kepada perbuatan dan kepercayaan yang cerdik, membebaskan fikiran dan menggalakkan kemajuan'. Kepada beliau, kemerdekaan yang sebenar adalah kemerdekaan minda dan jiwa yang dipupuk menerusi pembinaan jati diri yang dibentuk oleh empat aspek utama: agama, bahasa, pendidikan dan sikap (akhlak). Aspek terpenting di antara keempat-empat itu sudah tentulah agama. Menurut Za’ba, hanya dengan agama sahajalah jiwa manusia akan mengecapi kemerdekaan yang sebenar.
Menurut beliau, hanya ajaran dan amalan agama yang betul akan memerdekakan manusia daripada bertaklid dan pasrah secara membuta tuli kepada mana-mana makhluk. Dalam masa yang sama agama juga menjadi pengimbang kepada penggunaan rasional akal secara berlebihan. Sebab itulah elemen islah berdalilkan al-Quran yang bersendikan akal dan ilmu pengetahuan sentiasa ditekankan oleh Za’ba dalam membetulkan segala kekurangan atau kelemahan. Perkara inilah nanti yang akan menukarkan segala kekolotan fikiran dengan pemikiran yang lebih ideal dan seterusnya memerdekakan jiwa manusia.
Malah, Islam turut memperlihatkan bagaimana Nabi SAW diutuskan ALLAH SWT untuk memerdekakan manusia daripada kesesatan dan kezaliman kepada kebenaran dan keadilan. Kedatangan Islam menjadi simbol kemerdekaan manusia daripada segala bentuk belenggu dan penjajahan kepada kebebasan yang sebenar agar manusia tidak tunduk dan takut kepada mana-mana makhluk atau kuasa selain ALLAH SWT.
Dengan bertauhid dan sentiasa mengamalkan suruhan-Nya, Islam membebaskan jasad dan akal manusia daripada belenggu duniawi yang sempit dan fana. Lantaran itu, umat Islam akan sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik di atas kesedaran bahawa dunia hanyalah persinggahan sementara dan segalanya akan diperhitungkan oleh ALLAH di akhirat kelak.
Justeru, konsep kemerdekaan tidak boleh berdiri secara sendiri dan mutlak. Ia harus disandarkan dengan kehakikian akal dan jiwa manusia yang fitrahnya merdeka.
Hanya dengan membebaskan jiwa dan minda daripada segala dogma yang sesat dan sempit menerusi rasional akal, ajaran agama serta akhlak yang baik sahaja akan mampu menerbitkan erti merdeka yang sebenar.