Lawatan Agong ke Yogyakarta perkukuh hubungan institusi kesultanan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melambai tangan sebaik tiba di Pangkalan Tentera Udara Adisutjipto hari ini. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melambai tangan sebaik tiba di Pangkalan Tentera Udara Adisutjipto hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

YOGYAKARTA - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang kini dalam rangka lawatan empat hari ke Indonesia hari ini berkenan mengadakan pertemuan dengan Sultan Yogyakarta Sri Sultan Hamengku Buwono X, yang juga Gabenor Daerah Istimewa Yogyakarta.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Keraton Kesultanan Ngayogyakarta Hadiningrat yang merupakan kediaman rasmi Sultan Yogyakarta disambut Sri Sultan dan Gusti Kanjeng Ratu Hemas, Permaisuri Sri Sultan Hamengku Buwono X.

Alunan muzik rasmi Sri Sultan, yang dikenali sebagai Gendhing Prabu Mataram bergema di pekarangan Keraton untuk mengalu-alukan keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta rombongan.

Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong kemudiannya diiringi ke Gedhong Jene di Keraton itu bagi mengadakan pertemuan tertutup yang berlangsung kira-kira 15 minit.

Kunjungan Al-Sultan Abdullah ke Keraton Kesultanan Ngayogyakarta Hadiningrat atau juga dikenali Kraton Jogja mempunyai signifikan tersendiri kerana sebelum ini Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah pernah mengunjungi Kesultanan Yogyakarta pada 1981 semasa pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh.

Ketika itu, baginda mengadakan pertemuan dengan Sri Sultan Hamengku Buwono IX.

Usai pertemuan tersebut, Seri Paduka berdua kemudiannya dipersembahkan dengan Tarian Lawung Jajar yang mengisahkan semangat kepahlawanan para perajurit di era pemerintahan Sri Sultan Hamengku Buwono I.

Pada kunjungan itu, Seri Paduka berdua turut mengambil kesempatan meninjau ruang pameran di Keraton berkenaan yang terkenal dengan koleksi berbagai peninggalan sejarah termasuk koleksi raja dan bangsawan Jogja.

Artikel Berkaitan:

Tunku Azizah yang mempunyai minat mendalam pada seni fabrik dan rekaan turut mengambil kesempatan secara spontan untuk mencanting batik di Keraton berkenaan. Penghasilan batik adalah satu warisan budaya Yogyakarta dan terkenal dalam kalangan bangsawan Keraton Ngayogyakarta Hadiningrat.

Seri Paduka berdua kemudiannya diiringi ke Bangsal Manis untuk santapan tengah hari yang dihoskan oleh Sri Sultan dan isteri.

Keakraban Al-Sultan Abdullah dan Sri Sultan jelas terpamer, mencerminkan hubungan baik yang memperkukuhkan lagi institusi Kesultanan Islam di Nusantara.

Sri Sultan yang memerintah daerah istimewa Yogyakarta sejak 1989 merupakan satu-satunya Sultan yang menjadi gabenor di wilayah itu.

Institusi Kesultanan di Yogyakarta merupakan satu-satunya yang masih wujud di Indonesia dan berfungsi sebagai pemerintah daerah di republik itu.

Pertemuan itu adalah program pertama dalam atur cara lawatan Seri Paduka berdua di Yogyakarta yang berangkat tiba di sini pagi ini.

Seri Paduka berdua turut dijadual melawat beberapa lokasi bersejarah di sini termasuk ke Kotagede untuk menyaksikan industri pembuatan perak dan Candi Borobudur sebelum berangkat pulang ke Malaysia esok.- Bernama