Lawatan ke Australia berjaya tingkat hubungan dua hala

Zambry ketikakunjungan hormat ke atas Premier Australia Selatan yang ke-47, Peter Malinauskas MP. - Foto Facebook Zambry
Zambry ketikakunjungan hormat ke atas Premier Australia Selatan yang ke-47, Peter Malinauskas MP. - Foto Facebook Zambry
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan lawatan kerja tiga harinya ke Australia bermula Khamis sebagai berjaya mempertingkatkan hubungan dua hala yang sedia erat antara Malaysia dan Australia.

Beliau dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, lawatan bersempena Mesyuarat Tahunan Menteri-Menteri Luar Malaysia-Australia (AFMM) kelima (Annual Foreign Ministers’ Meeting) itu turut berjaya menyelesaikan isu-isu bersama di bawah kerangka Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP).

Ia berjaya membuka ruang dan peluang perdagangan melalui kerjasama baharu menerusi modenisasi Malaysia-Australia Free Trade Agreement (MAFTA) dan memperkukuh komitmen bersama ke arah memelihara kestabilan dan keamanan rantau Indo-Pasifik tanpa sebarang ancaman mana-mana pihak, katanya.

"Mesyuarat kali ini telah membincangkan perkara-perkara teras penting termasuklah ekonomi, sains dan teknologi, pendidikan, pertahanan dan keselamatan serantau.

"Perbincangan berjalan dalam suasana baik dan mesra dengan mengambil kira kepentingan bersama kedua-dua belah pihak," menurut kenyataan itu.

Zambry berkata, mesyuarat juga bersetuju untuk mengambil tindakan susulan di peringkat kerja ( working level) di kementerian-kementerian dan agensi-agensi yang berkaitan.

AFMM merupakan satu mekanisme dua hala di bawah Deklarasi Bersama Kerjasama Strategik (Joint Declaration for Strategic Partnership) antara Malaysia dan Australia yang ditubuhkan pada 2015.

Sehingga kini, sebanyak empat mesyuarat telah diadakan sebelum ini iaitu pada Mac 2017 (Putrajaya), November 2019 (Sydney), Disember 2020 (Kuala Lumpur) dan November 2021 (Kuala Lumpur) serta dihoskan secara bergilir antara Malaysia dan Australia.

Semasa di Adelaide, Zambry berkata, beliau juga mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Australia Selatan yang ke-47, Peter Malinauskas MP.

"Semasa pertemuan tersebut, kami telah bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala yang berkepentingan bersama serta usaha untuk mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat di antara Malaysia dan Australia Selatan," katanya.

Menurut Zambry, pertemuan itu amat bermakna kerana 2023 merupakan ulang tahun ke-50 ‘Sister City’ di antara Georgetown, Pulau Pinang dan Adelaide, Australia Selatan. - Bernama