Kerajaan negeri berbohong dalam sidang DUN: Saarani

Saarani (duduk, kiri) bersama barisan ADUN pembangkang pada sidang akhbar mengenai isu pelepasan cukai kereta rasmi kerajaan negeri.
Saarani (duduk, kiri) bersama barisan ADUN pembangkang pada sidang akhbar mengenai isu pelepasan cukai kereta rasmi kerajaan negeri.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak didesak memberi penjelasan terperinci kepada rakyat berhubung pembelian kereta rasmi Toyota Camry.

Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya mendapati penjelasan dibuat sebelum ini oleh wakil kerajaan di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berbeza dengan kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan semalam.

Menurutnya, tindakan itu disifatkan sebagai menipu DUN berikutan 'hansard' mengatakan pembelian kereta tersebut mendapat pelepasan cukai.

"Wakil kerajaan telah jawab dalam Dewan dan jawapan atau fakta itu salah. Dia sebenarnya telah menipu Dewan. Ada peruntukan dalam Perintah-Perintah Tetap DUN bagaimana hukum dan peraturan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbohong di dalam Dewan.

"Mengapa perlu tipu rakyat? Mengapa perlu disembunyikan fakta sebenar? Kalau tiada pengecualian, beritahu sahajalah, jangan cuba berselindung.

"Perkara ini kena dijelaskan oleh kerajaan negeri," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kementerian Kewangan semalam bahawa Perak tidak diberikan pengecualian cukai dalam pembelian kereta Toyota Camry sebagai kenderaan rasmi.

Saarani berkata, pada sidang DUN lepas, Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Usahawan Perak, Asmuni Awi menjawab bagi pihak kerajaan memaklumkan harga kereta Toyota Camry berharga RM190,000 seunit itu dibeli pada harga RM109,000 seunit kerana mendapat pelepasan cukai.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semalam dalam kenyataannya menegaskan bahawa pembelian 16 kereta Toyota Camry, Jun lalu adalah berpatutan meskipun tidak mendapat pengecualian cukai bagi kenderaan itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Saarani berkata, sepatutnya penjelasan di dalam Sidang DUN lalu selari dengan kenyataan dibuat Ahmad Faizal semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanpa cukai, pembelian kereta tetap berpatutan: Ahmad Faizal