Warisan pertaruhkan AMT di DUN Lamag, bekas ADUN Sukau di Kinabatangan

Bekas ADUN Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman (kiri) sebagai calon Warisan di Parlimen Kinabatangan manakala Mazliwati Abdul Malek bagi DUN Lamag.
Bekas ADUN Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman (kiri) sebagai calon Warisan di Parlimen Kinabatangan manakala Mazliwati Abdul Malek bagi DUN Lamag.
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) mengumumkan dua calonnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK)  Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Dua calon tersebut ialah Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan, Mazliwati Abdul Malek bagi kerusi DUN Lamag manakala bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman untuk kerusi Parlimen Kinabatangan.

Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking berkata, Mazliwati ialah seorang pemimpin yang memahami keperluan warga Lamag dan berpengalaman.

"Selain itu, beliau berkemampuan membicarakan isu-isu berkaitan dengan sistem pentadbiran negeri sekali gus membolehkannya menjadi suara lantang yang mampu mengangkat kepentingan Lamag di DUN nanti.  

"Datuk Saddi pula akan menggunakan segala pengalamannya selama 12 tahun sebagai ADUN untuk menjadikan Dewan Rakyat sebagai pentas untuk membahaskan hak-hak Sabah di peringkat Persekutuan.

"Selain itu, beliau akan memastikan suara rakyat Kinabatangan dibawa dengan tegas, berintegriti dan konsisten," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah Darell lagi, Warisan juga menyatakan bahawa parti itu bertanding di PRK DUN dan Parlimen tersebut dengan pendirian yang teguh terhadap perjuangannya.

"Iaitu sebuah parti yang setia kepada prinsip, kekal berpegang kepada misi menyelamatkan Sabah dan menyediakan halatuju politik yang jelas, konsisten serta berpaksikan mandat rakyat. 

"Seiring dengan itu, Warisan akan terus komited dengan agendanya untuk negeri Sabah yang menjadi pedoman kepada parti ini iaitu mempertahankan hak dan autonomi Sabah dan memperkukuhkan ekonomi tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, membela kesejahteraan rakyat, mengamalkan tadbir urus yang bersih, telus dan berteraskan rakyat serta membina masa depan yang adil, inklusif serta mampan untuk semua rakyat Sabah," tegasnya.

Katanya lagi,  PRK Lamag dan Kinabatangan adalah mengenai soal prinsip, kepimpinan dan hala tuju mana-mana parti yang bakal bertanding.

"Warisan tidak pernah berkompromi dengan perjuangannya dan kedua-dua calon parti ini mencerminkan komitmen tersebut terhadap negeri Sabah," ujarnya.

Sehubungan itu, Warisan menyeru semua pengundi yang layak agar menunaikan tanggungjawab demokrasi mereka pada 24 Januari ini demi kepentingan dan masa depan yang lebih baik untuk Lamag, Kinabatangan dan Sabah. 

Sebelum itu, tarikh penamaan calon untuk kedua-dua kerusi tersebut ialah pada Sabtu ini manakala hari pengundian ditetapkan pada 24 Januari ini.

Ringkasan AI

  • Parti Warisan mengumumkan dua calonnya untuk Pilihan Raya Kecil Kinabatangan dan DUN Lamag
  • Mazliwati Abdul Malek dan Datuk Saddi Abdul Rahman masing-masing adalah calon untuk DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan
  • Mazliwati dianggap pemimpin yang memahami keperluan warga Lamag dan berpengalaman
  • Datuk Saddi akan menggunakan pengalamannya sebagai ADUN untuk membela hak Sabah di peringkat Persekutuan
  • Warisan bertanding dengan prinsip yang setia dalam mempertahankan hak dan autonomi Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!