Malaysia tetap meneruskan projek kereta terbang: Redzuan

Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof
Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof
A
A
A

PETALING JAYA - Malaysia tetap dengan pendiriannya berhubung projek kereta terbang pertamanya sekalipun dikritik oleh pelbagai pihak, termasuk pelapor khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Prof Phillip Alston baru-baru ini, kata Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

"Kita terbuka kepada mana-mana pendapat untuk membangunkan projek itu... PBB mungkin punya pandangannya sendiri,” kata Mohd Redzuan pada sidang akhbar selepas melawat syarikat pembekal solution ICT berasaskan sekuriti, Datasonic Group Bhd di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Alston mengenai projek tersebut bahawa ia tidak praktikal dilaksanakan di Malaysia, dengan alasan negara ini sering terdedah kepada ribut dan kenderaan itu akan menggunakan terlalu banyak bahan bakar fossil.

Alston dilaporkan berkata projek kereta itu membazirkan sumber dan masa bagi Malaysia yang sepatutnya membuat persediaan bagi menghadapi kesan perubahan iklim yang kini mula terasa.

"Projek ini adalah inisiatif swasta. Jika anda lihat pada seluruh eko sistem industri itu sendiri, saiznya adalah kira-kira AS$500 bilion seantero dunia, ini industri besar yang kita harus terlibat dan sokong,” tegas beliau.

Prototaip kereta terbang itu sedang didirikan oleh sebuah syarikat Malaysia di Jepun, dan kerja membina kereta itu kini 85 peratus siap. - Bernama

Artikel Berkaitan: