Sambut merdeka bersungguh-sungguh

No Image Caption
A
A
A

SUDAH tiba masanya rakyat Malaysia benar-benar menjiwai erti sebenar kemerdekaan kerana isu sentimen perkauman dan agama dilihat makin panas dari hari ke hari.

Jika dahulu setiap kali tibanya Hari Kebangsaan atau bulan kemerdekaan kita hanya pasang bendera atau nyanyi lagu Sudirman Tanggal 31 Ogos.

Namun, kini sudah tiba untuk semua pihak mengkaji semula mengapa pentingnya kemerdekaan ini terutama bagi generasi muda yang kurang mengambil peduli tentang masa hadapan negara.

Walaupun negara kita merdeka bukan menerusi pertumpahan darah namun sebenarnya sukar untuk memperoleh kemerdekaan sekiranya tidak bersatu-padu.

Ini disebabkan pihak British tidak akan memberikan kemerdekaan tanpa persetujuan orang Melayu untuk bersedia menerima kaum Cina dan India dalam negara ini.

Orang Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan sebenarnya tiada pilihan untuk terus menjadi rakyat Malaysia selain bersatu mempertahankan keharmonian dan perpaduan yang dibina selama ini.

Adalah lebih baik andai kita mengambil pengajaran tentang pengorbanan wira-wira kemerdekaan negara yang terdahulu dan kembali menghayati sejarah negara.

Figura tempatan yang mempunyai ribuan peminat juga wajar menggunakan platform media sosial mereka untuk mempromosikan semangat perpaduan pelbagai kaum di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Cara ini dilihat lebih berkesan daripada kerajaan sendiri mempromosi semangat perpaduan kerana orang muda lebih suka mendengar cakap idola atau artis yang mereka minat.

Kalau personaliti seperti Neelofa, Vivy Yusof atau Caprice boleh memberi input perpaduan yang positif kepada pengikut mereka, tidak mustahil ini dapat membantu meredakan situasi panas ketika ini.

Netizen juga perlu mengurangkan kritikan dan kutukan kepada mana-mana pihak atau individu dalam bulan kemerdekaan ini.

Netizen perlu membantu kerajaan dalam membentuk semula keharmonian negara ini.

Anggaplah bulan kemerdekaan ini seperti bulan Ramadan yang mana kita mengurangkan dosa mengumpat orang dan menghayati bulan tersebut dengan bersungguh-sungguh.