Erti merdeka di sebalik tembok batu berjeriji

Penghuni penjara dapat mengasah kemahiran menerusi program Tafaqquh Fiddin.
Penghuni penjara dapat mengasah kemahiran menerusi program Tafaqquh Fiddin.
A
A
A

PENGERTIAN merdeka bagi kita ialah kebebasan daripada penjajahan, namun di sebalik tembok batu berjeriji besi dari Penjara Penor, Pekan Pahang, erti merdeka jauh lebih besar.

Tiada kedengaran hiruk-pikuk kota, tawa riang saudara-mara dan rakan taulan, bahkan kebebasan yang suatu masa dulu sukar dimengertikan kini menjadi sebuah impian dan harapan.

Mereka dahagakan kebebasan, rindukan keriuhan kota dan sentuhan kasih saudara-mara, apatah lagi perpisahan dengan keluarga tatkala menjalani hukuman begitu menjeruk perasaan.

Dilepaskan lebih awal dari tarikh sebenar hukuman semestinya sesuatu yang didambakan, namun ia bak mimpi yang tidak berkesudahan.

Kini, dinding batu jadi 'teman', sementara kurungan jadi 'guru' yang mendidik erti penghargaan terhadap kebebasan dan kemerdekaan.

Merdeka dari perbuatan mungkar

Bagi Pak Long (bukan nama sebenar), warga emas berusia 62 tahun yang menjadi penghuni penjara atas kesalahan dadah, pengertian kemerdekaan cukup besar bagi dirinya.

"Pak Long dijatuhkan hukuman sembilan tahun penjara dan tahun ini merupakan tahun kelapan Pak Long di sini.

Artikel Berkaitan:

"Hanya setahun sahaja lagi, namun ALLAH SWT sahajalah yang tahu betapa perit hati ini menunggu detik kebebasan.

"Lapan tahun tu lama tapi setahun baki tu rasa lebih lama. Berdebar pun ada bila nak keluar nanti," katanya.

Tunku Azizah (tengah) mencemar duli melawat bengkel tenun Penjara Penor.
Tunku Azizah (tengah) mencemar duli melawat bengkel tenun Penjara Penor.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana menjadi insan terpilih untuk menginsafi diri terhadap dosa-dosa lampau.

"Di dalam penjara, Pak Long belajar memerdekakan diri dari pelbagai perbuatan mungkar dan menyalahi agama. Bebas arak, bebas perempuan seksi (zina) dan paling penting bebas dadah yang menjadi sebab Pak Long terkurung di sini.

"Syukur pada ALLAH kerana memilih Pak Long untuk 'membersihkan' diri di sini. Pak Long belajar banyak perkara termasuk mematuhi peraturan. Dalam hidup ini bahkan dalam agama sendiri, kita diperintahkan untuk mematuhi peraturan," katanya.

Belajar kemahiran menenun songket

Sementara itu, bagi seorang lagi penghuni, KK (bukan nama sebenar) berusia 48 tahun, setelah hidup dalam belenggu dadah selama 30 tahun, kebebasan daripada najis dadah itu adalah erti merdeka baginya.

"Saya dapat bebaskan diri daripada najis dadah selepas 30 tahun menjadi hamba. Tanpa dadah, saya berfikiran waras seperti orang lain. Dulu macam orang gila. Saya sanggup melakukan apa saja demi mendapatkan duit untuk dadah.

"Dalam penjara, saya diberikan pendidikan rohani dan jasmani yang sempurna," katanya.

Sepanjang di penjara, dia turut mempelajari kemahiran menenun songket dan berasa bertuah apabila hasil tenunannya bersama banduan lain dipakai oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Bagi Joe, 38, (bukan nama sebenar), pula, dia telah dipenjarakan selama tujuh tahun dan bakal dibebaskan pada tahun 2021.

Joe tidak sabar untuk bebas dan merdeka dari penjara.
Joe tidak sabar untuk bebas dan merdeka dari penjara.

"Saya tak sabar nak bebas. Itulah erti merdeka bagi saya yang hidup dalam kurungan ini," katanya.

Program kerohanian elak kesalahan berulang

Dalam pada itu, Pengarah Penjara Penor, Datuk Abu Hassan Hussain berkata, pendekatan kerohanian banyak membantu banduan untuk tidak mengulangi kesilapan sama.

Menurutnya, ia termasuklah program Tafaqquh Fiddin yang dijalankan dengan usahasama Yayasan Pahang yang dilaksanakan setiap Sabtu dan Ahad melibatkan 100 banduan.

"Selain program kerohanian, penghuni penjara juga dididik dengan pelbagai kemahiran seperti tenunan, jahitan, kimpalan, kerja kayu, dan

ternakan bagi membolehkan mereka berupaya meneruskan hidup selepas keluar daripada penjara dengan berbekalkan kemahiran yang diberikan," katanya.