JPA kaji penjawatan bersifat 'schemeless'

No Image Caption
A
A
A

SERDANG - Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) sedang mengkaji kesesuaian skim perjawatan perkhidmatan awam yang bersifat 'schemeless' atau tanpa skim perkhidmatan untuk dilaksanakan pada masa akan datang, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Borhan Dolah.

Beliau berkata, ia merupakan sebahagian daripada 32 inisiatif pembaharuan yang dicadangkan untuk dilaksanakan oleh JPA selaras dengan agenda kerajaan bagi pembaharuan sektor awam.

“Kita akan lihat kepada beberapa perkhidmatan yang sesuai umpamanya jika dahulu kita ada beribu skim perkhidmatan sekarang sudah turun kepada lebih 200 sahaja dan kita akan lihat pada keperluan bersama dari segi ruang lingkup perkhidmatan yang akan kita selarikan,” katanya ketika memberi syarahan pada Majlis Professor of Practice Talk di Universiti Putra Malaysia hari ini.

Semasa menghuraikannya, Borhan berkata 'schemeless' itu jika dilaksanakan akan membolehkan satu skim perjawatan diwujudkan daripada gabungan beberapa skim perjawatan sedia ada, contohnya dalam bidang pendidikan dan pentadbiran.

“Sebagai contoh pegawai tadbir boleh menjadi pegawai kewangan dan pegawai kewangan boleh juga menjawat jawatan akauntan yang nanti mungkin hanya ada satu nama perjawatan iaitu pegawai tadbir, dan kita sedang melihat kesesuaian mengenai perkara itu,” katanya.

Menurut Borhan, banyak negara telah mengamalkannya.

Dalam perkembangan lain, Borhan berkata Rang Undang-undang (RUU) Akta Perkhidmatan Awam yang sebelum ini dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen pada Julai lepas masih belum dapat dilakukan.

“Kita masih melakukan perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan mengenai RUU ini yang antara lain menyentuh mengenai pemisahan kuasa antara penjawat awam dan anggota pentadbiran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Borhan dianugerahkan watikah pelantikan sebagai Putra Business School Professor of Practice.- Bernama