RM1.35 juta bina jalan perhubungan desa 3 kampung

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun menerima cenderahati berupa gambar keindahan pemandangan di Tegudon Tourism Village yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick (kiri) sempena lawatan Datuk Seri Rina ke kawasan Usukan dan Kadamaian Kota Belud hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun menerima cenderahati berupa gambar keindahan pemandangan di Tegudon Tourism Village yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick (kiri) sempena lawatan Datuk Seri Rina ke kawasan Usukan dan Kadamaian Kota Belud hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KOTA BELUD - Kementerian Pembangunan Luar Bandar hari ini meluluskan peruntukan berjumlah RM1.35 juta bagi membina jalan perhubungan desa (JPD) di tiga kampung termasuk sebuah pusat komuniti desa (PKD) di sini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, peruntukan itu masing-masing untuk membina JPD Kampung Lingkodon (RM500,000); Kampung Kaung Malaan (RM200,000); Kampung Pinolobu (RM200,000) dan selebihnya iaitu RM450,000 bagi membangunkan PKD Kampung Malangkap Baru.

"Peruntukan ini diluluskan bertujuan menyediakan infrastruktur jalan raya lebih baik untuk penduduk setempat selain menyokong pembangunan industri pelancongan diusahakan di kampung berkenaan dan kawasan sekitarnya.

“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan bekerjasama menyediakan infrastruktur jalan raya bagi melonjakkan lagi sektor pelancongan di daerah ini sekali gus membantu meningkatkan lagi sosioekonomi penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan kunci rumah bina baru Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian di Kampung Piasau di sini hari ini.

Sebanyak 20 kampung dalam DUN Kadamaian menerima geran MPKK bagi fasa pertama dan enam penduduk kampung menerima kunci rumah PPRT pada majlis yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.

Mengulas pembangunan eko-pelancongan Sabah, Rina berkata, kawasan luar bandar Sabah mempunyai banyak destinasi menarik dan mempunyai keindahan serta keunikan alam semula jadi tersendiri yang berpotensi dijadikan sebagai pusat pelancongan.

"Pusat eko-pelancongan khususnya di Polumpung, Kampung Malangkap Baru diusahakan secara komuniti berupaya menarik lebih 200,000 kehadiran pelancong setahun.

Artikel Berkaitan:

"Keindahan dan kecantikan panorama alam semula jadi serta kejernihan air sungai Kadamaian itu mampu dibangunkan dan menjadi sumber pendapatan kepada masyarakat setempat," katanya.

Menurutnya, peruntukan diluluskan itu juga memberi impak tinggi kepada pembangunan pelancongan luar bandar di kawasan berkenaan dan diharapkan lebih banyak promosi ke pusat eko pelancongan Kadamaian dibuat sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

"Kita mahu program pembangunan pelancongan luar bandar dijalankan oleh masyarakat kampung menerusi kerjasama MPKK dan kerajaan juga akan terus komited menyediakan infrastruktur jalan raya selain bimbingan dan latihan perniagaan serta promosi," katanya.

Terdahulu, Rina diiringi Ewon mengadakan lawatan di Usukan bagi meninjau jalan Kampung Lingkodon sebelum ke Pusat Eko Pelancongan Tagal, Kampung Malangkap Baru Tiong dan Pusat Eko Pelancongan Polumpung, Kampung Malangkap Baru.

Rina turut menyempurnakan majlis pecah tanah Projek Bekalan Air Luar Bandar, Pembinaan Telaga Tiub yang bernilai RM9 juta di Loji Rawatan Air Bayayat. - Bernama