Tiga termasuk dua kanak-kanak maut dihanyut kepala air

KULIM – Tiga maut manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun berjaya diselamatkan dalam kejadian kepala air di Taman Eko Rimba Sungai Sedim di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam lebih kurang 2.38 petang memaklumkan kejadian.
Menurutnya, kejadian disyaki berpunca dari kepala air yang datang secara tiba-tiba dan siren kecemasan di tempat kejadian dilaporkan mengalami kerosakkan.
Beliau berkata, maklumat lanjut berhubung kejadian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohamad Yazan Yahaya berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.
"Jentera pertama tiba pada jam 3.21 petang selepas menempuh perjalanan sejauh 29 kilometer.
"Berdasarkan maklumat awal, mangsa terdiri daripada seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak lelaki.
"Pasukan bomba segera menjalankan pencarian di kawasan puncak bukit serta sepanjang aliran sungai," katanya.
Menurutnya, hasil maklumat orang awam, kesemua tiga mangsa berjaya dikesan terapung di aliran sungai di pertengahan bukit.
Kesemua mangsa diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

