Kehilangan pelajar Tingkatan Tiga terjawab, mayat ditemui dalam ladang sawit

KOTA TINGGI - Kehilangan seorang pelajar Tingkatan Tiga sejak lima hari lalu terjawab selepas mayatnya ditemukan di dalam sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Kilometer 8.2, Jalan Kluang-Kota Tinggi awal pagi Jumaat.
Mangsa, Muhammad Nasrulhaq Kamaruzaman, 15, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC ditemui oleh orang awam kira-kira jam 2.30 pagi dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlibat kemalangan apabila motosikal yang ditungganginya terbabas sendiri.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di badan serta kaki dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan.
“Kes masih dalam siasatan polis dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, keluarga remaja itu merayu bantuan orang ramai untuk mengesan remaja tersebut yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Felda Simpang Waha, Sabtu lalu.
Muhammad Nasrulhaq kali terakhir dilihat meninggalkan rumah kira-kira jam 11 malam dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna merah hitam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

