MACA peneraju pusat kecemerlangan cegah rasuah

Mohd Kassim (kanan) ketika sesi libat urus LPPR bersama MACA SPRM di Kuala Lumpur pada Khamis. Foto: SPRM
Mohd Kassim (kanan) ketika sesi libat urus LPPR bersama MACA SPRM di Kuala Lumpur pada Khamis. Foto: SPRM
A
A
A

KUALA LUMPUR – Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) bukan sahaja peneraju pusat kecemerlangan pencegahan rasuah, tetapi merupakan platform latihan, penyelidikan dan pembangunan kapasiti kepada organisasi dalam serta luar negara.

Timbalan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dr Mohd Kassim Noor Mohamed berkata, cabaran rasuah yang semakin kompleks pada masa kini menuntut pegawai SPRM supaya sentiasa memperbaharui ilmu, meningkatkan kompetensi serta menguasai teknologi dan kaedah penyiasatan yang sentiasa berkembang.

"Di sinilah saya melihat peranan MACA sebagai sebuah institusi yang amat strategik.

"MACA bukan sekadar pusat latihan, tetapi merupakan institusi pembangunan profesional yang bertanggungjawab membentuk pegawai SPRM yang kompeten, berfikiran strategik, beretika tinggi serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan," katanya pada Sesi Libat Urus LPPR bersama MACA SPRM di sini pada Khamis.

Tambahnya, LPPR menyokong dan amat berminat mengikuti perkembangan serta program-program dilaksanakan MACA.

Kata beliau, ini bagi memperkukuh keupayaan pegawai SPRM dan memperluaskan jaringan kerjasama di peringkat nasional serta antarabangsa.

Sementara itu, Pengarah Kanan MACA SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, MACA komited memperkukuh kedudukannya sebagai institusi latihan antirasuah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti dan kerjasama strategik.

Kata Mohamad Zamri, MACA kini dalam usaha mendapatkan pensijilan antarabangsa bagi Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) sebelum diperluaskan kepada peserta dari luar negara sebagai sebahagian daripada usaha mengangkat kepakaran Malaysia dalam bidang integriti dan antirasuah.

"MACA turut menambah baik modul-modul kursus siasatan bagi memastikan kandungannya sentiasa relevan dengan cabaran semasa serta memenuhi keperluan penguatkuasaan yang semakin kompleks," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan MACA telah menerima geran peruntukan daripada Kementerian Luar Negeri untuk menganjurkan Program Executive Leadership Training on Anti-Corruption yang menyasarkan peserta daripada Negara-Negara Membangun yang Berkepentingan Strategik, sekali gus memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam usaha memerangi rasuah.

Pada sesi libat urus itu, ahli-ahli LPPR turut mengemukakan beberapa cadangan bagi memperluaskan peranan MACA, antaranya menawarkan lebih banyak kursus kepada agensi kerajaan, sektor swasta dan peserta antarabangsa.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!