Kakitangan UPSB meninggal dunia

Sebahagian rakan sekerja yang memberi penghormatan terakhir di Pusara Aman Kampong Melayu Subang. Gambar kecil, Allahyarham Zaidi.
Sebahagian rakan sekerja yang memberi penghormatan terakhir di Pusara Aman Kampong Melayu Subang. Gambar kecil, Allahyarham Zaidi.
A
A
A

SHAH ALAM - Kakitangan Ultimate Print Sdn Bhd (UPSB), Zaidi Saad, 50, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira jam 2.55 pagi tadi, akibat komplikasi jantung.

Isteri Allahyarham, Noorliza Bakiri, 48, berkata, Allahyarham terpaksa dimasukkan ke IJN selepas mengalami masalah saluran darah terkoyak.

“Pada Selasa dua minggu lalu, arwah ada temu janji di Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sungai Buloh untuk pasang stent di jantung.

“Sehari selepas itu, arwah terpaksa dikejarkan ke IJN kerana saluran darahnya terkoyak,” katanya ketika ditemui di Surau ArRahmah Kampung Melayu Subang.

Menurutnya, kesihatan Allahyarham merosot selepas menjalani dua pembedahan.

“Selepas dibedah, arwah sedar tetapi terpaksa bergantung pada alat bantuan pernafasan.

“Dia hanya menggunakan isyarat tangan bila hendak berinteraksi. Namun dua hari lalu, dia tidak sedarkan diri dan agak kritikal. Awal pagi tadi, dia pergi meninggalkan kami semua,” katanya sayu.

Tambah Noorliza, walaupun sedih, dia dan keluarga reda dengan pemergian suami tersayang.

Artikel Berkaitan:

“Arwah sebelum ini tak suka bergambar, tapi Aidilfitri lalu dialah yang beria-ria mahu kami sekeluarga ada gambar kenangan.

“Malah sebelum dimasukkan ke hospital, arwah beria-beria belikan jam tangan untuk saya dan anak bongsu kami. Katanya untuk kenang-kenangan. Bila kenang balik, mungkin arwah dah tahu hayatnya tak lama,” katanya.

Allahyarham meninggalkan tiga anak lelaki, Mohd Zahim Muhaimin, 22, yang kini menuntut di Universiti Malaya, Mohd Zahim Muzamil, 18 dan Mohd Zahim Muazim, 10.

Jenazah dikebumikan di Pusara Aman, Kampung Melayu Subang kira-kira jam 10 pagi tadi.

Turut menziarahi, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Timbalan Pengerusi Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Allahyarham yang berkhidmat sebagai operator pengeluaran sejak enam tahun lalu merupakan seorang pekerja yang berdedikasi dan disenangi rakan sekerja serta kariah surau di tempat tinggalnya.