Suri rumah, kerani rugi RM93,508 ditipu 'Inspektor Tan Kok Hwa'

No Image Caption
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang suri rumah mengalami kerugian sebanyak RM69,007 selepas dipercayai terperangkap dengan sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 48 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai bank.

Menurutnya, pegawai bank tersebut memberitahu mangsa kononnya dia mempunyai tunggakan kad kredit lalu panggilan tersebut terus disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

"Mangsa mendakwa dia telah bercakap dengan lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Inspektor Tan Kok Hwa' iaitu pegawai penyiasat dalam kes berkenaan. Lelaki itu memaklumkan kononnya mangsa mempunyai tunggakan kad kredit dan meminta mangsa menyerahkan semua maklumat akaun bank termasuk maklumat perbankan dalam talian miliknya.

"Lelaki itu mendakwa semua maklumat itu untuk siasatan pihak polis. Dia memberitahu mangsa bahawa dia mahu membantu menyelesaikan kes mangsa. Lelaki itu juga meminta mangsa merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan orang lain," katanya ketika dihubungi hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa berbual hampir dua jam melalui telefon dan telah menyerahkan 10 kali nombor TAC/PAC yang diterima melalui telefon bimbitnya kepada lelaki berkenaan.

"Mangsa menamatkan panggilan setelah dia menghubungi abangnya untuk bertanyakan maklumat akaun bank lain seperti diarahkan lelaki tersebut. Selepas itu, mangsa mendapati wang di dalam dua akaun bank miliknya lesap selepas membuat semakan.

"Mangsa yakin dirinya sudah terperangkap sindiket penipuan dan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes berasingan, seorang wanita kerugian RM24,501 apabila ditipu seorang lelaki dipercayai daripada sindiket yang sama.

Noorzainy berkata, mangsa yang bekerja sebagai kerani sebuah syarikat itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki kononnya kakitangan sebuah bank, tiga hari lalu.

Menurutnya, lelaki tersebut memberitahu mangsa bahawa dia mempunyai tunggakan bank dan talian tersebut telah disambungkan kepada Balai Polis Kuala Lumpur.

"Ketika panggilan itu disambung, mangsa mendakwa telah bercakap dengan lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Inspektor Tan Kok Hwa' iaitu pegawai penyiasat kes tersebut.

"Modus operandi digunakan sama seperti kes suri rumah tersebut iaitu mangsa didakwa mempunyai tunggakan bank, selain mangsa diminta menyerahkan semua maklumat peribadi termasuk maklumat akaun bank," katanya.

Tambah Noorzainy, mangsa berbual hampir dua jam melalui telefon dan telah menyerahkan enam kali nombor TAC kepada suspek yang diterima melalui telefon bimbitnya.

"Mangsa hanya menamatkan panggilan setelah ditegur ahli keluarganya yang bekerja di tempat sama. Sejurus selepas itu, mangsa menyemak tiga akaun bank miliknya dan mendapati wangnya sudah lesap.

"Ketika itu mangsa yakin dia telah terperangkap dengan sindiket Macau Scam dan kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.