SIRIM cipta makmal uji pelekap dinding

SIRIM
SIRIM
A
A
A

HULU SELANGOR - SIRIM QAS International melancarkan sebuah makmal pengujian pertama di Asia Tenggara yang menyediakan khidmat pengujian kebakaran bagi pelekap dinding luaran bangunan.

Pengerusinya Datuk Syed Hisham Syed Wazir berkata makmal berkenaan akan menguji tahap ketahanan pelekap dinding luaran semasa berlakunya kebakaran.

“Maknanya, semua pelekap dinding luaran perlu menjalani ujian ini sebelum ia diluluskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak kami untuk ia digunakan di bangunan-bangunan tinggi di luar sana.

“Saya berharap makmal ini dapat membantu industri bahan binaan dalam pengujian kebakaran bagi menghasilkan pelekap dinding luaran berkualiti serta mengurangkan risiko kebakaran bangunan terutamanya untuk bangunan tinggi,” katanya pada sidang media di SIRIM Rasa, di sini.

Beliau berkata, kos pengujian yang dijalankan di makmal ini adalah lebih murah berbanding dengan kos untuk pengujian sama di luar negara.

“Khidmat pengujian pelekap dinding luaran dapat membantu penguatkuasaan terhadap sistem pelekap bangunan berkualiti dan mematuhi keperluan standard yang boleh dipasarkan di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JBPM Datuk Yusof Sidek berkata pelekap dinding yang tahan api itu merupakan satu keperluan untuk mengawal kebakaran daripada merebak.

“Kami merasakan syarat untuk menggunakan pelekap dinding perlu diuji di makmal berkenaan sebelum ia digunakan dalam bangunan.

Artikel Berkaitan:

“Sejak kebakaran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing, di Petaling Jaya pada awal tahun lepas, bomba telah mengambil kira pelbagai aspek akan pelekap dinding luaran bangunan kerana ianya mudah terbakar dan mengakibatkan api marak ke bahagian lain dengan pantas,” katanya.

Yusof berkata pihaknya mengambil iktibar kebakaran bangunan KWSP itu, bahawa pelekap dinding yang lebih kalis api dapat melambatkan api marak serta dapat menyelamatkan harta benda.- Bernama