Pembeli dalam talian di Asia Tenggara dijangka meningkat 2026

Ismail Sabri ketika perasmian Majlis Anugerah 100 Top CEO 2022 di Kuala Lumpur pada Selasa.
Ismail Sabri ketika perasmian Majlis Anugerah 100 Top CEO 2022 di Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah pembeli secara dalam talian di Asia Tenggara dijangka terus meningkat kepada 380 juta orang menjelang 2026 disebabkan arus teknologi dunia yang semakin berkembang setiap hari.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, angka itu berdasarkan laporan Barometer e-Dagang Asia Tenggara (SEA) disebabkan oleh perubahan perniagaan secara konvensional kepada perniagaan secara dalam talian.

Menurutnya, arus teknologi dunia semakin berkembang dan China dilihat mempelopori inovasi sains dan teknologi global serta industri perniagaan kerana sudah semakin ke hadapan.

“Misalnya, sewaktu melakukan lawatan ke Shenzhen pada Jun lalu, saya dimaklumkan industri e-hailing di sana sudah menggunakan dron untuk menghantar makanan kepada pembeli.

“Ini merupakan contoh kemajuan teknologi dalam perniagaan yang akan merevolusikan sistem jual beli pada masa akan datang,” katanya sewaktu berucap merasmikan Majlis Anugerah 100 Top CEO 2022 pada Selasa di Kuala Lumpur.

Ismail Sabri sewaktu berucap merasmikan Majlis Anugerah 100 Top CEO 2022 pada Selasa di Kuala Lumpur.
Ismail Sabri sewaktu berucap merasmikan Majlis Anugerah 100 Top CEO 2022 pada Selasa di Kuala Lumpur.

Justeru, Ismail Sabri memaklumkan, anugerah itu adalah platform yang baik bagi memastikan lebih banyak syarikat tempatan untuk terus berkembang maju dan bersaing sehingga peringkat antarabangsa.

Ujar beliau, ia sekali gus menunjukkan kepemimpinan dalam sebuah organisasi perlu diperkasakan kerana ia bakal menentukan hal tuju syarikat.

Tambahnya, kebanyakan syarikat yang berjaya mempunyai pemimpin bersifat kritis dan kental dalam mendepani cabaran perniagaan kini yang semakin dinamik

“Kita semua tidak dilahirkan untuk menjadi pemimpin yang hebat tetapi saya yakin pengalaman pahit manis dalam membangunkan perniagaan itu menjadi titik tolak kepada apa yang anda semua telah capai hari ini.

“Saya percaya anda semua pemain industri tempatan yang banyak memberi sumbangan terhadap ekonomi negara serta membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan, pelbagai pelan dan inisiatif telah dilancarkan untuk membantu industri perusahaan tempatan terus diperkasa sewaktu menerajui tampuk pentadbiran kerajaan.

Jelasnya, pada April 2022, beliau telah memperkenalkan program Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMy2030) yang menyediakan hala tuju nasional baharu terhadap pembangunan keusahawanan sosial negara.

“Tujuannya adalah untuk meningkatkan tahap kehidupan pelbagai lapisan masyarakat, terutamanya mereka yang terpinggir dan tercicir daripada arus pembangunan dan program bantuan kerajaan.

“Ia juga menyediakan penyelesaian sistematik dan inovatif kepada cabaran sosial dan alam sekitar yang mendesak. Masa untuk kembali menyumbang kepada masyarakat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, negara sedang berada di fasa pemulihan sekali gus memberi kesan kepada dunia perniagaan global dan tempatan.

“Namun, diharapkan dengan pengiktirafan menerusi anugerah ini mampu mendorong usahawan untuk terus berdaya saing dan produktif. Saya doakan anda terus berjaya dalam perniagaan yang diusahakan serta terus berbakti kepada ekonomi negara,” ujarnya.