Aramco mahu jadikan Malaysia hub minyak, gas terbesar Asia Tenggara

Perkembangan itu menunjukkan bahawa negara disenangi dan diyakini pelabur berikutan Malaysia berada dalam keadaan aman dan damai.

Anwar (tengah) melawat tapak gerai jualan Agro Madani pada Majlis Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor di Sekinchan pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar (tengah) melawat tapak gerai jualan Agro Madani pada Majlis Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor di Sekinchan pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SABAK BERNAM - Syarikat minyak dan gas terbesar di dunia, Saudi Aramco (Aramco) berminat menjadikan Malaysia sebagai hub perkembangan minyak dan gas Arab Saudi di Asia Tenggara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pengerusi Eksekutif Aramco, Amin Nassir yang menemui beliau menyatakan rasa senang dengan dasar Kerajaan Perpaduan ketika ini.

"Kebetulan (Yang di-Pertuan) Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa mengerjakan haji bertemu dengan Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud dan baginda memberitahu pelaburan Arab Saudi tertumpu untuk Asia yang berpusat di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor di MSekin Wonderland, Sekinchan di sini pada Selasa.

Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan bahawa negara ini disenangi dan diyakini pelabur berikutan Malaysia berada dalam keadaan aman dan damai.

"Siapa bantu keamanan negara? Ini sudah tentu dilakukan oleh pasukan tentera, polis dan pihak penguatkuasaan," jelas beliau.

Selain itu, Anwar berkata, syarikat pengeluar kenderaan Geely Automobile Holdings Ltd dari China turut menyatakan minat untuk melabur dalam bidang automatif di negara ini dengan nilai pelaburan RM40 bilion.

Jelas beliau, pelaburan itu menjadikan Proton City Tanjung Malim sebagai kota automobil terbesar di Asia Tenggara.

"Ini kali pertama saya nak sebut, Geely yang (kerjasama) dengan Proton dia ada tulis dekat saya 10 halaman muka surat panjang.

"(Adakah) ini untuk saya terima komisen atau hadiah? (Tidak) kerana ia menjamin ekonomi kita supaya meningkat naik dan ribuan anak-anak kita mendapat (peluang) pekerjaan," jelasnya.