Gema #QuranHour di Madrid

Khaeriah Zaehera (duduk tengah) bersama pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Sepanyol memegang plakad Malaysia #QuranHour.
Khaeriah Zaehera (duduk tengah) bersama pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Sepanyol memegang plakad Malaysia #QuranHour.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Malaysia #QuranHour buat julung kalinya bakal diadakan di Madrid hasil sokongan daripada Kedutaan Besar Malaysia di Sepanyol di bawah Kementerian Luar Negara.

Kuasa Usaha Sementaranya, Khaeriah Zaehera Abd Kayyum berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Sepanyol akan menganjurkan program itu di pejabat kedutaan di Madrid.

Menurutnya, program #QuranHour dilihat sebagai satu platform yang baik dalam usaha merapatkan perpaduan dan silaturahim seluruh rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

“Program ini juga mempromosikan budaya membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam daripada pelbagai lapisan masyarakat merentasi budaya yang berlainan dan negara di seluruh dunia.

“Secara tidak langsung kempen ini menaikkan imej Islam dan menyuntik semangat mendalami, menghayati serta mempraktikkan ajaran terkandung di dalam al-Quran,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Justeru, katanya, masyarakat di Malaysia tidak harus melepaskan peluang untuk menyertai program itu kerana ia adalah satu cara untuk berinteraksi dengan al-Quran dan seterusnya sebagai satu tanda sokongan membentuk solidariti ummah di seluruh dunia.

Pejabat kedutaan di Madrid akan menjadi lokasi penganjuran Malaysia #QuranHour.
Pejabat kedutaan di Madrid akan menjadi lokasi penganjuran Malaysia #QuranHour.

“Program ini berjaya mengangkat budaya tadarus al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia dan kesungguhan menjadikan ia sebagai acara tahunan menggambarkan semangat untuk bersama menyebarkan syiar Islam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai persiapan untuk penganjuran program itu, beliau berkata, pihaknya telah membuat hebahan dan menguar-uarkan jemputan program itu kepada seluruh rakyat Malaysia yang bermastautin di Madrid dan bandar-bandar lain yang berdekatan.

“Jemputan ini bukan hanya dalam kalangan rakyat Malaysia yang tinggal di sini tetapi pihak kedutaan turut menghebahkan kepada komuniti Islam tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Khaeriah Zaehera berkata, penganjuran Malaysia #QuranHour yang dijadualkan berlangsung menjelang ambang sambutan kemerdekaan negara yang ke-62 tahun sangat memberi makna kepada seluruh rakyat di negara ini kerana dapat bersama menghayati semangat cintakan negara dan membentuk jati diri umat Islam yang baik.

“Program Malaysia #QuranHour kali ini mengangkat tema Bangsa Berbudi Penyayang dengan mengajak masyarakat memahami cabaran dunia akhir zaman dan solusi daripada surah al-Kahf.

“Antara lain ia juga memperjelaskan inspirasi dan usaha agar manusia mampu melonjakkan potensi berlandaskan nilai diri berteraskan al-Quran dan sunnah,” katanya.