Bermula suka-suka sahaja, sekarang dah lebih 50 pokok

Abdul Aziz menunjukkan pokok Tongkat Ali Hitam yang terdapat di rumahnya di Kampung Muka Bukit di sini.
Abdul Aziz menunjukkan pokok Tongkat Ali Hitam yang terdapat di rumahnya di Kampung Muka Bukit di sini.
A
A
A

MACHANG - Pada dunia teknologi maklumat yang serba canggih pada hari ini, masyarakat banyak bergantung kepada ubat-ubatan moden berbanding tanaman herba seperti zaman nenek moyang dahulu bagi tujuan perubatan.

Malah jika ditanya, ramai generasi muda tidak lagi mengenali tanaman herba sebagaimana orang dulu-dulu dan tanaman tersebut seolah-olah tidak lagi mempunyai nilai bagi mereka.

Menyedari situasi tersebut, sepasang suami isteri di Kampung Muka Bukit di sini, mengambil pendekatan menanam lebih 50 pokok herba di sekeliling rumah mereka sejak 30 tahun lalu.

Bermula dengan suka-suka, pasangan tersebut, Abdul Aziz Deraman, 70, dan Zariah Mohamad, 68, mengumpulkan pelbagai jenis herba yang ditemui mereka yang kemudiannya menjadi landskap bagi menghiasi rumah mereka.

Abdul Aziz berkata, dia mula menanam tanaman tersebut apabila menyedari ia semakin dilupakan oleh masyarakat dan ramai anak-anak muda tidak mengenali tumbuhan itu.

Menurutnya, sekalipun tidak mengetahui khasiat kesemua pokok herba tersebut namun dia gembira dapat menyediakan kemudahan kepada penduduk kampung yang memerlukan tumbuhan itu.

Tambahnya, dia berharap usaha tersebut berjaya memelihara tumbuhan itu daripada pupus dan dapat diperkenalkan kepada generasi muda.

Katanya, landskap yang menghijau di sekeliling rumah memberi ketenangan kepada keluarganya.

Artikel Berkaitan:

"Banyak jenis pokok herba boleh ditanam kerana penjagaannya tidak sukar dan mudah hidup. Lebih menarik, pokok herba ada banyak kebaikan kerana boleh dimakan dan dijadikan sebagai ubat jadi ia mempunyai kebaikan berganda berbanding menanam pokok hiasan,” katanya.