PJ City FC hampiri slot suku akhir Piala Malaysia

Pemain pasukan PJ City FC, Washington Brandao Dos Santos (kiri) meraikan jaringan gol pertama buat pasukannya pada perlawanan Piala Malaysia 2019 antara pasukan UiTM FC bertemu pasukan PJ City FC di Stadium UiTM, hari ini. - Foto BERNAMA
A
A

PELUANG pasukan Liga Super, Petaling Jaya City FC (PJ City FC) mara ke suku akhir Piala Malaysia cerah selepas menewaskan pasukan tercorot, UiTM FC pada aksi Kumpulan B di Stadium UiTM Shah Alam, di sini, malam ini.

Keputusan itu menyaksikan PJ City FC mengutip sembilan mata untuk berada di tangga kedua carta Kumpulan B, manakala UiTM FC kekal menghuni tangga tercorot daripada empat pasukan selepas gagal mengutip sebarang mata selepas empat perlawanan.

Pada aksi di Shah Alam, PJ City FC memecah kebuntuan pada minit ke-32 menerusi percubaan daripada luar kotak penalti oleh pemain import dari Brazil, Washington Brandao.

Selang 10 minit kemudian, pasukan pelawat berpeluang menambah jaringan, namun sepakan penalti yang diambil ketua pasukan, Elizeu Araujo De Melo Batista berjaya diselamatkan penjaga gol UiTM FC, Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri.

K. Satish mengesahkan kemenangan pasukan PJ City FC pada minit ke-71 selepas mudah menolak masuk bola yang ditampan keluar Muhammad Azfar dan keputusan 2-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia