Remaja gelandangan curi tabung masjid ditahan

Remaja lelaki 14 tahun bersama rakannya dirakam kamera litar tertutup pada hari kejadian tabung masjid hilang.
FOTO POLIS
Remaja lelaki 14 tahun bersama rakannya dirakam kamera litar tertutup pada hari kejadian tabung masjid hilang. FOTO POLIS
A
A
A

SUNGAI BULOH - Seorang remaja lelaki yang tidak bersekolah dan hidup gelandangan ditahan polis dipercayai terlibat dalam kes curi duit tabung Masjid Al Huda Paya Jaras, di sini awal pagi tadi.

Sinar Harian difahamkan, remaja berusia 14 tahun itu hidup gelandangan selepas ditinggalkan oleh kedua ibu bapanya.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, remaja itu ditahan sekitar jam 6.30 pagi hari ini hasil risikan polis selepas menerima aduan tentang kehilangan tabung masjid.

Menurutnya, pada 23 Ogos lalu ahli jawatankuasa masjid membuat laporan polis selepas menemui satu tabung milik masjid berada di jejantas berhampiran Sekolah Kebangsaan Sungai Pelong.

"Semakan pada kamera litar tertutup (CCTV) masjid mendapati suspek menyelinap masuk ke masjid pada waktu Subuh, mencuri dan membawa lari tabung dengan menaiki motosikal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shafa’aton berkata, hasil pengakuan remaja berkenaan telah membawa kepada tangkapan suspek kedua, iaitu seorang wanita berusia 23 tahun yang juga penunggang motosikal pada waktu kejadian.

"Kedua-dua suspek tidak mempunyai hubungan keluarga dan hasil semakan polis mendapati suspek wanita mempunyai empat rekod jenayah serta satu jenayah narkotik.

"Manakala remaja berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah dan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut. Suspek direman dua hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: