Mayat lelaki dalam rumah terbengkalai

Anggota polis mengangkat mayat mangsa ke dalam trak untuk dibawa ke hospital.
Anggota polis mengangkat mayat mangsa ke dalam trak untuk dibawa ke hospital.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan terbaring di sebuah rumah terbengkalai di Pasir Tumboh, di sini kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Din, 40-an ditemui dalam keadaan terlentang dengan butang baju terbuka dan memakai kain pelekat biru, manakala di tangan kanannya menggenggam ubat penyedut untuk rawatan asma.

Mangsa dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari lalu berdasarkan mayatnya yang sudah membusuk.

Pemilik rumah berkenaan, Abdul Kadir Jailani Baharudin, 52, berkata, dia membenarkan mangsa tinggal di situ kerana kasihan kepadanya yang tidak mempunyai tempat tinggal sejak lebih lima tahun lalu.

Katanya, ketika kejadian dia ke lokasi untuk melawat rumah itu yang turut menjadi stor simpanan barangan perabotnya.

"Saya ketuk pagar tak ada orang menyahut lalu saya intai melalui pagar dan nampak Din terbaring di depan bahagian garaj rumah.

"Saya terus hubungi pihak polis kerana saya rasa dia sudah tak bergerak. Polis datang potong rantai pagar untuk pemeriksaan lanjut," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Abdul Kadir (tengah) menunjukkan gambar mangsa kepada rakannya.
Abdul Kadir (tengah) menunjukkan gambar mangsa kepada rakannya.

Abdul Kadir berkata, dia tidak mengetahui nama sebenar Din atau keluarganya kerana mangsa enggan menceritakan mengenai dirinya.

"Setiap minggu saya beri duit belanja kepada dia untuk makan minumnya. Dia kata dia orang susah ada anak isteri tetapi setiap kali saya mengajak untuk melawat keluarganya dia enggan berbuat demikian.

"Saya kenal dia melalui kawan di pondok berdekatan yang membawa Din ke sini untuk tengokkan rumah saya yang dah terbengkalai sejak 15 tahun lalu.

"Rumah ini kalau malam ada lampu semuanya dan pekerja saya yang lain selalu datang ke sini setiap hari," katanya yang juga seorang usahawan perabot.

Abdul Kadir berkata, mayat tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk tindakan selanjutnya.