Satu jabatan, satu inovasi

A.Rahman (tengah) menyampaikan anugerah kepada wakil jabatan yang menyertai Pertandingan 1Inovasi, 1Jabatan, 1Tahun Peringkat Negeri di Wisma Darul Iman, di sini.
A.Rahman (tengah) menyampaikan anugerah kepada wakil jabatan yang menyertai Pertandingan 1Inovasi, 1Jabatan, 1Tahun Peringkat Negeri di Wisma Darul Iman, di sini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Bermula 2019, setiap jabatan di negeri ini perlu menghasilkan satu inovasi untuk diketengahkan menerusi Pertandingan 1Inovasi, 1Jabatan, 1Tahun Peringkat Negeri Terengganu.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk A.Rahman Yahya berkata, langkah itu bagi memastikan setiap jabatan menunjukkan komitmen dalam menghasilkan inovasi yang dapat membantu memberikan perkhidmatan yang efisien kepada masyarakat.

“Cetusan untuk wujudkan satu inovasi bagi satu jabatan dalam tempoh setahun adalah idea bernas untuk memperbanyakkan lagi inovasi di peringkat negeri ke arah peningkatan pencapaian jabatan bersama rakyat.

“Apa yang perlu dilakukan ialah bertekad untuk berubah, mengenal pasti kelemahan dan kebolehan serta sumber yang kita ada. Ia akan membantu untuk meningkatkan inovasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Pertandingan 1Inovasi, 1Jabatan, 1Tahun Peringkat Negeri di Wisma Darul Iman, di sini.

Mengulas lanjut, katanya, pertandingan itu juga diharap mampu mewujudkan budaya kerja baharu dalam kalangan kakitangan kerajaan di negeri ini.

“Pertandingan ini dapat meningkatkan kerjasama dalam kalangan kakitangan kerajaan dan mewujudkan budaya kerja lebih cekap dengan kaedah penyampaian yang lebih efisien.

“Kita yakin, dengan cara ini ia akan meningkatkan tahap kepuasan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berpuas hati dengan peningkatan jumlah penyertaan dalam pertandingan itu.

Artikel Berkaitan:

“Kali ini, daripada 148 jabatan, sebanyak 21 jabatan yang masuk bertanding berbanding hanya tiga jabatan sahaja sebelum ini,” katanya.