Empat sekolah di Terengganu terjejas banjir, dua tempatkan calon SPM

SMKA Dato’ Haji Abbas ialah antara sekolah yang terjejas akibat banjir di Terengganu.
SMKA Dato’ Haji Abbas ialah antara sekolah yang terjejas akibat banjir di Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Empat sekolah di Terengganu terjejas akibat banjir susulan hujan berterusan sejak Isnin, termasuk dua sekolah yang menempatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di asrama.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Perancangan dan Pengurusan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shamsuddin Md Yusof berkata, sekolah terjejas di Kuala Nerus ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abbas dan Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT), masing-masing menempatkan calon SPM.

Beliau berkata, dua lagi sekolah yang terjejas ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bukit Chendering dan SK Gelugor di Kuala Terengganu.

"Setakat ini situasi di SMKA Dato’ Haji Abbas dan SSMT, tiada bangunan dinaiki air kecuali kawasan rendah di sekitar kawasan sekolah. Hanya pelajar Tingkatan Lima yang menduduki SPM berada di asrama dan mereka tinggal di tingkat kedua blok asrama. 

"Bagi pelajar lain pula, penjaga masing-masing telah dimaklumkan untuk membawa mereka pulang ke rumah. Difahamkan, keadaan air bertakung di kawasan sekolah berpunca daripada longkang yang dipenuhi air dan dijangka surut sekiranya hujan reda,” katanya dalam kenyataan pada Selasa. 

Beliau berkata, SMKA Dato’ Haji Abbas mempunyai 176 calon SPM manakala terdapat 26 calon di SSMT. 

Katanya, sekolah yang terjejas telah diarahkan untuk ditutup sementara manakala murid dan pelajar diarahkan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh tersebut. - Bernama 

 

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!