Minyak hampir kering, tayar terkopak

Bergambar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu. Sebahagian lagi tidur di hotel kerana kepenatan.
Bergambar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu. Sebahagian lagi tidur di hotel kerana kepenatan.
A
A
A

HUJAN lebat, tayar motosikal terkopak dan minyak hampir kehabisan di tengah perjalanan antara dugaan dihadapi ketika Ride Kuala Terengganu Attack pada 10-11 Oktober lalu.

Bagi Bunian Bikerz, dugaan itulah yang menjadikan perjalanan lebih bermakna.

Ride dua hari satu malam ke Kuala Terengganu itu bukan sahaja menguji ketahanan diri dan jentera, malah mengukuhkan semangat setiakawan yang menjadi nadi setiap perjalanan.

Kuala Terengganu menjadi destinasi, tetapi paling penting ialah persahabatan.
Kuala Terengganu menjadi destinasi, tetapi paling penting ialah persahabatan.

Segalanya bermula apabila Cip Shah mengajak rakan-rakan menyertai perjalanan ke negeri Pantai Timur itu. Pelawaan berkenaan disambut tanpa banyak soal, apatah lagi sudah lama tidak berkunjung ke Kuala Terengganu.

Kali ini, perjalanan dirancang sebagai ride kombat- singkat, padat dan pastinya penuh cerita. Aku menunggang BMW S1000 XR, Shah dan Hasrul dengan Yamaha Tracer, Azmi, Rizz dan Nik (Yamaha MT09), Lucas (Triumph 800), Nuar (CF Moto 800MT) dan Nan (Kawasaki GTR).

Seawal jam 4 pagi, peserta mula berkumpul di Petron Shah Alam sebelum bergerak ke BHP Gombak pada jam 5 pagi untuk meneruskan perjalanan.

Artikel Berkaitan:

Peristiwa lucu apabila tidak bawa baju hujan punya pasal, plastik pun jadi! dan Keadaan tayar motor Nuar yang terkopak.
Peristiwa lucu apabila tidak bawa baju hujan punya pasal, plastik pun jadi! dan Keadaan tayar motor Nuar yang terkopak.

Pada awalnya, 10 motosikal dijadualkan menyertai konvoi, namun seorang peserta terpaksa menarik diri pada saat akhir.

Kebanyakan peserta membawa pasangan masing-masing, kecuali Azmi dan Hasrul yang menyertai perjalanan itu tanpa teman di belakang. Persinggahan di R&R Temerloh dirancang untuk menunaikan solat Subuh, sarapan dan mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Kuala Terengganu.

Namun, belum jauh perjalanan diteruskan, hujan lebat mula membasahi di sekitar Temerloh. Pakaian basah kuyup, jalan licin dan cuaca yang tidak menentu menjadi ujian pertama. Bagaimanapun, perjalanan tetap diteruskan sebelum singgah di R&R Perasing untuk mengisi minyak dan meregangkan badan.

Belum sempat menarik nafas lega, satu lagi dugaan menanti apabila tayar motosikal milik Nuar terkoyak ketika menghampiri R&R Ajil. Konvoi terpaksa memperlahankan pergerakan bagi mencari kedai tayar motosikal untuk menyelesaikan masalah itu.

Dalam kekalutan tersebut, seorang lagi peserta turut berdepan detik mencemaskan apabila minyak motosikalnya hampir kering. Dia menyangka terdapat pam petrol di Ajil, namun sangkaan itu ternyata meleset. Nasib baik masih boleh sampai ke Kuala Terengganu tetapi terpaksa menunggang 20km/j!

Sudahlah dibasahi hujan, tayar motosikal rakan pula bermasalah, minyak hampir habis. Lengkap pakej ujian untuk sebuah perjalanan yang pada awalnya dirancang sebagai percutian singkat.

Namun, tiada siapa ditinggalkan bersendirian menghadapi masalah. Semangat saling membantu memastikan perjalanan dapat diteruskan sehingga seluruh kumpulan selamat tiba di Kuala Terengganu.

Singgang budu, ikan bakar dan keropok lekor.

Penulis (empat dari kanan) bersama rakan-rakan bergambar di menara jam di Pasar Payang.
Penulis (empat dari kanan) bersama rakan-rakan bergambar di menara jam di Pasar Payang.

Setibanya di destinasi, kami singgah makan tengah hari di Singgang Budu, restoran viral yang menawarkan pelbagai hidangan kampung berasaskan cita rasa Pantai Timur.

Perut kenyang, barulah mendaftar masuk di Hotel Seri Malaysia untuk berehat selepas perjalanan panjang yang memenatkan.

Penghargaan turut diberikan kepada Puan Halidar yang membantu memudahkan pendaftaran dan menyediakan bilik penginapan yang selesa buat kami.

Selepas berehat seketika, ada yang merancang untuk menikmati ikan celup tepung (ICT) pada sebelah petang. Namun, rancangan itu tidak menjadi kenyataan apabila rakan-rakan lain masih belum bangun daripada tidur.

Akhirnya, kami memilih Jambatan Angkat Kuala Terengganu atau Drawbridge sebagai lokasi untuk bergambar dan mengabadikan kenangan.

Malam pula diisi dengan hidangan ikan bakar di Medan Ikan Bakar Kuala Ibai sebelum bersantai di kawasan waterfront, menikmati keropok lekor sambil meluangkan masa bersama.

Tiada jadual yang terlalu padat atau aktiviti yang perlu dikejar. Cukup dengan makanan yang menyelerakan, suasana santai dan gelak tawa yang tidak putus-putus.

Konon hendak santai, akhirnya mengah!

Keesokan harinya, selepas bersarapan, kami merancang untuk berjalan kaki ke Pasar Payang bagi membeli sedikit buah tangan dan jajan.

Bunian Bikerz bergambar di hadapan Hotel sebelum pulang ke Kuala Lumpur.
Bunian Bikerz bergambar di hadapan Hotel sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Nik pula terpaksa bergegas balik Klang selepas Subuh kerana ada urusan yang perlu diselesaikan.

Pada mulanya, perjalanan itu disangka dekat dan sesuai untuk aktiviti brisk walk. Hakikatnya, langkah yang bermula dengan penuh semangat bertukar menjadi cabaran stamina yang tidak dijangka.

Rupa-rupanya, berjalan kaki di bandar selepas seharian menunggang motosikal bukanlah semudah yang disangka. Pengalaman itu akhirnya melahirkan satu kesimpulan yang cukup menghiburkan: lain kali, naik motosikal sahaja!

Untuk perjalanan pulang ke hotel, kami menggunakan perkhidmatan Grab daripada meneruskan aktiviti berjalan kaki.

Menjelang jam 12 tengah hari, tiba masanya untuk mendaftar keluar dan menghidupkan semula enjin bagi perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.

Kami singgah makan tengah hari di R&R Perasing ketika cuaca cerah, satu kelegaan selepas perjalanan pergi yang dibasahi hujan.

Bagaimanapun, sebaik tiba di kawasan Karak, hujan kembali turun.

Tanpa banyak pilihan, perjalanan diteruskan meredah hujan, sesuatu yang sudah sebati dengan pengalaman penunggang motosikal jarak jauh.

Persinggahan singkat di Shell Jalan Duta memberi peluang kepada berehat sebelum meneruskan perjalanan terakhir ke rumah masing-masing.

Sekitar jam 8.30 malam, semuanya selamat tiba di rumah. Yang tinggal bukan sekadar kenangan perjalanan.

Bagi Bunianz Bikerz, ride ke Kuala Terengganu mungkin hanya berlangsung dua hari satu malam, tetapi pengalaman yang dikumpulkan jauh lebih panjang daripada tempoh perjalanan itu sendiri.

Lebih penting, setiap dugaan mengingatkan mereka bahawa perjalanan berkumpulan bukan sekadar bergerak seiring di jalan raya, tetapi turut memastikan setiap rakan mendapat bantuan apabila berdepan kesukaran.

Kegembiraan sepanjang perjalanan juga membuktikan bahawa kemeriahan sesebuah ride tidak semestinya bergantung pada destinasi mahal atau aktiviti mewah.

Kadangkala, cukup dengan rakan yang sporting, gelak tawa tanpa henti dan kesediaan membantu antara satu sama lain.

Penghargaan turut ditujukan kepada seluruh keluarga Bunian Bikerz yang menyertai perjalanan itu kerana tanpa penglibatan dan semangat mereka, ride berkenaan tidak mungkin menjadi kenyataan.

Kuala Terengganu menjadi destinasi, tetapi paling penting ialah persahabatan. Seperti semangat yang tidak pernah luntur, satu janji sudah tersemat untuk perjalanan seterusnya: Next ride, kita kasi lagi padu!.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!