Tok batin sesat 16 jam selepas mencari siput

Ahmad (dua dari kiri) ditemui dalam keadaan lemah di kawasan paya bakau.
A
A

BATU PAHAT - Seorang Tok Batin Kampung Orang Asli Taman Sri Banang di sini, berhadapan detik cemas selepas tersesat hampir 16 jam sejak petang semalam, di Kampung Patah Pedang, Sungai Ayam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohd Fauzi Md Nor berkata, mangsa, Ahmad Karim, 72, hilang di kawasan paya bakau selepas keluar mencari siput bersama dua lagi rakannya kira-kira jam 5 petang semalam.

"Ketika dalam perjalanan balik mangsa telah terpisah dengan dua lagi rakannya, walaupun jarak di antara mereka dikatakan tidak berapa jauh. Rakannya yang menyedari kehilangan mangsa mula mencari di sekitar kawasan paya bakau tersebut namun tidak berjaya.

"Salah seorang rakan mangsa kemudian menghubungi pihak bomba pada jam 8.31 malam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan. Operasi berkenaan disertai oleh bomba, polis dan orang awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Fauzi berkata, mangsa telah dijumpai oleh orang awam pada jam 9.06 pagi tadi dengan jarak kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Menurutnya, ketika ditemui mangsa berada dalam keadaan lemah dan telah diberikan rawatan di lokasi oleh pasukan perubatan.

"Mangsa memberitahu pasukan penyelamat bahawa dia tidak menjumpai laluan keluar walaupun kawasan tersebut merupakan tempat yang sering dimasukinya," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia