Johor teliti beri elaun perkhidmatan kepada tok batin

Kerajaan Johor sedang meneliti pemberian elaun perkhidmatan kepada tok batin masyarakat Orang Asli di Johor. Foto hiasan
Kerajaan Johor sedang meneliti pemberian elaun perkhidmatan kepada tok batin masyarakat Orang Asli di Johor. Foto hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor sedang meneliti pemberian elaun perkhidmatan kepada tok batin masyarakat Orang Asli di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata, sebelum ini, pemimpin masyarakat itu hanya menerima elaun daripada kerajaan pusat sebanyak RM900 dan tidak menerima sebarang elaun daripada kerajaan negeri.

"Ini adalah antara perkara yang saya fikir kerajaan negeri perlu lihat. Kerajaan negeri akan fikirkan perkara ini dengan nilai elaun yang dikira bersesuaian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Johor Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Fest 2023 di Aeon Bukit Indah di sini semalam.

Menurut beliau, terdapat 60 kampung masyarakat Orang Asli dengan 46 tok batin di seluruh Johor.

Zahari berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkara yang dibincangkan menerusi lawatannya ke beberapa perkampungan Orang Asli baru-baru ini.

Katanya, lawatan itu bertujuan menyantuni masyarakat Orang Asli sekali gus memastikan adanya penglibatan secara berterusan golongan itu dalam program kerajaan negeri.

Beliau berkata, ia juga bagi memastikan masyarakat itu terus mendapat pendidikan, pembangunan dan ekonomi seiring dengan matlamat menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030.

Sementara itu, Zahari berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi menaik taraf penempatan masyarakat itu dengan menjadikan Kampung Orang Asli Putting di Segamat sebagai Program Rintis Kampung Orang Asli Sejahtera Negeri Johor. - Bernama