Pengorbanan anggota tentera

A
A

KESELAMATAN sesebuah negara merupakan salah satu agenda utama pemerintah. Nikmat kehidupan yang aman tidak mungkin wujud tanpa kawalan keselamatan dalam dan luar negara. Adalah menjadi kewajipan bagi kerajaan yang memerintah untuk memastikan aspek keselamatan dan keamanan dapat dikekalkan sepanjang masa agar masyarakat di negara tersebut dapat hidup dalam keadaan sentosa.

Di Malaysia, antara agensi yang terlibat secara langsung dalam memastikan keselamatan dalam negara terjamin ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala bagi menjaga keselamatan negara daripada ancaman luar adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Tentera Darat Diraja Malaysia (TDM) menjaga keselamatan kita di darat, Tentera Udara (TUDM) pula menjaga keselamatan lalu lintas di udara manakala Tentera Laut (TLDM) menjaga keselamatan perairan negara.

Mereka bertugas mempertahankan negara dan mereka kerap dituntut untuk membuat pengorbanan termasuk mengabaikan keselamatan dan keselesaan sendiri demi keamanan negara. Jika kita tidak mampu memberikan khidmat sebagai anggota tentera, sekurang-kurangnya kita menyokong dan menghargai pengorbanan mereka. Sebarang kenyataan yang menghina anggota tentera adalah sangat tidak wajar.

Bukan mudah untuk menjadi anggota tentera. Hanya yang betul-betul bagus sahaja terpilih. Mereka harus melepasi pelbagai ujian mental dan fizikal. Jika terpilih, latihan yang dilalui juga bukannya mudah dan bukan semua yang terpilih itu dapat menghabiskan latihan dan seterusnya melayakkan mereka bergelar anggota tentera. Bagi memastikan anggota tentera sentiasa bersedia menghadapi perang (walaupun aman), latihan demi latihan diadakan setiap masa, bukannya makan dan tidur seperti yang ditohmahkan oleh sesetengah pihak.

Walaupun saya bukan anggota tentera tetapi saya mempunyai ramai sahabat yang menyarung uniform tentera. Banyak pengorbanan mereka yang mungkin ramai orang awam tidak tahu. Mereka tidak dapat bersama-sama anak dan isteri atau suami setiap masa sebagaimana orang lain. Ada ketika, mereka terpaksa berhari raya di dalam hutan atau di tengah lautan, jauh daripada sanak saudara.

Anggota tentera tidur di tengah hutan yang penuh dengan binatang liar dan serangga berbisa, sedangkan kita digigit nyamuk sahaja sudah tidak selesa. Kita mungkin sedang tidur nyenyak di atas tilam tebal, di bawah tiupan kipas atau pendingin hawa manakala sahabat tentera kita tidur di atas tanah sahaja atau terumbang-ambing di lautan dalam.

Saya pernah menyertai kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) sesi pertama pada 2015 ketika berumur 40 tahun di Rejimen 506 Askar Wataniah Kelantan. Minat untuk memakai uniform tentera timbul apabila melihat penglibatan anggota tentera dalam membantu mangsa banjir besar di Kelantan pada akhir 2014.

Saya merupakan pelatih paling tua, manakala yang kedua tertua berumur 33 tahun. Sebanyak 95 peratus lagi adalah lepasan SPM dan STPM dan berumur bawah 20 tahun. Kursus asas itu sahaja sudah sangat memeritkan namun banyak mengajar erti kemanusiaan dan membuatkan saya bersyukur dengan nikmat keamanan yang dirasai selama ini.

Tidur memang tidak pernah cukup. Makan pula sekadar untuk menghilangkan lapar kerana makanan yang disediakan tidaklah selazat makanan di hotel atau restoran tetapi cukup zat dan keperluan kalori yang diperlukan dalam sehari. Sesiapa yang pernah melalui latihan ketenteraan sebegini pasti tahu bagaimana rasa dan keadaannya. Itu baru latihan untuk menjadi tentera sukarela, bukannya tentera biasa atau sepenuh masa.

Dalam masa satu bulan tersebut, ukur lilit pinggang saya telah susut sebanyak tiga inci dan berat badan turun beberapa kilogram. Tidak perlu bayar yuran mahal untuk program menguruskan badan. Kursus sebagai anggota tentera sukarela ini adalah percuma, makan minum diberi percuma, uniform diberi percuma malah diberikan elaun. Pada masa yang sama, badan kita menjadi lebih sihat dengan latihan kecergasan fizikal setiap pagi.

Bagi mereka yang merasakan bahawa anggota tentera kita hanya makan dan tidur, saya sarankan daftarkan diri sebagai anggota tentera sukarela. Tidak lama pun; kursus asas perajurit muda sukarela hanya mengambil masa satu bulan sahaja. Mungkin ia dapat membantu anda menghargai pengorbanan anggota tentera kita.