#QuranHour: Suntikan semangat kepada masyarakat

Mohamad Nordin FOTO: ROSLI TALIB
A
A

SELEPAS lima tahun penganjurannya, kempen Malaysia #QuranHour dilihat semakin dekat di hati rakyat khususnya yang beragama Islam di negara ini.

Menariknya, tahun ini juga Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) muncul sebagai penganjur utama bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) dalam merancakkan lagi usaha mengajak orang ramai membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran.

Pemilihan Masjid Putra, Putrajaya sebagai lokasi yang dianggarkan bakal menerima kehadiran 7, 000 peserta pada majlis yang akan berlangsung pada 30 Ogos ini pastinya mempunyai tarikan tersendiri.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai pengisian dan persiapan program yang sangat dinanti-nantikan itu, ikuti temubual wartawan Sinar Harian, Nurul Huda Husain dan jurugambar, Rosli Talib bersama KETUA PENGARAH JAKIM, DATUK MOHAMAD NORDIN IBRAHIM di di Kuala Lumpur baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Apakah pandangan Datuk mengenai Malaysia #QuranHour dalam mengajak orang ramai mendekati al-Quran melalui baca, faham dan amal?

MOHAMAD NORDIN: Program ini kami lihat sebagai program yang sangat berpotensi dan amat baik, sesuai kepada masyarakat Islam yang semakin matang, yang perlukan kepada satu suntikan nilai-nilai al-Quran sebagai rujukan dalam kehidupan. Program ini kita lihat sebagai satu fenomena yang sangat baik bukan sahaja dalam negeri bahkan memberi semangat kepada masyarakat di luar negara kerana selain membaca, peserta juga dapat memahami dan seterusnya mengamalkan apa yang terkandung dalam kitab suci al-Quran.

Bagaimana penglibatan dan komitmen pihak Jakim dalam menjayakan Malaysia #QuranHour?

MOHAMAD NORDIN: Kita di pihak Jakim akan menggerakkan sokongan dan kerjasama terhadap program ini di mana idea penganjuran Malaysia #QuranHour ini juga dilihat sesuai dengan tagline kami iaitu Melebar Risalah, Menyantuni Ummah.

Selain itu, bentuk sokongan lain adalah kita menyediakan tempat yang selesa dan sesuai untuk penganjuran program berskala besar sebegini. Lokasi yang dipilih iaitu Masjid Putra yang mempunyai kemudahan lengkap dan nilai yang tersendiri.

Mohamad Nordin  FOTO: ROSLI TALIB
Mohamad Nordin FOTO: ROSLI TALIB

Berapa ramaikah kakitangan Jakim yang akan terlibat dan agensi manakah lagi yang turut terlibat bagi memartabatkan lagi al-Quran?

MOHAMAD NORDIN: Buat masa ini, saya belum lagi keluarkan surat pekeliling kepada kakitangan Jakim tetapi saya akan minta mereka hadir dengan jangkaan 300 orang akan hadir.

Selain itu, saya juga akan membuat perjumpaan dengan Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) untuk meminta agensi itu menggerakkan masjid dan surat di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya ini untuk turut serta ke Masjid Putra atau mereka boleh lakukan di tempat masing-masing.

Mengapakah Masjid Putra menjadi lokasi perdana untuk Malaysia #QuranHour?

MOHAMAD NORDIN: Masjid Putra bukan sahaja sebuah masjid yang berprestij di Putrajaya tetapi turut mempunyai nilai tersendiri apabila menjadi masjid pertama didirikan bersama-sama Perdana Putra yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia. Selain itu, Putrajaya juga sangat dikenali dan sering dikunjungi pelancong asing, jadi di situ juga mempunyai daya tarikan pelancong.

Berapa ramaikah dijangka peserta yang akan sertai program julung kali diadakan di Masjid Putra ini?

MOHAMAD NORDIN: Kami menjangkakan seramai 7,000 peserta akan mengambil bahagian pada program julung kalinya di Masjid Putra ini.

Apakah sasaran pihak Jakim dalam menerajui Malaysia #QuranHour?

MOHAMAD NORDIN: Program bersifat dakwah sebegini sememangnya menjadi antara fokus utama pihak kami. Bukan sahaja ia disampaikan secara terus oleh pihak Jakim tetapi juga melalui kerjasama pelbagai pihak.

Alhamdulillah, kita melihat program ini semakin mendapat tempat serta turut memberi kesan. Justeru sebab itulah kita perlu yakin dan percaya bahawa al-Quran sahajalah menjadi kitab yang perlu dirujuk oleh semua umat Islam.

Jadi, pihak kami menyasarkan lebih ramai yang akan memanfaatkan program ini dengan turut serta untuk membaca, faham dan seterusnya amal apa yang terkandung dalam al-Quran untuk terus berjaya dalam hidup.

Pandangan Datuk mengenai tema Malaysia #QuranHour iaitu Bangsa, Berbudi dan Rahmah, tahun ini?

MOHAMAD NORDIN: Sesuai dengan konsep ramah, aman, harmoni, mesra, alami dan hormat (Rahmah) yang diketengahkan kerajaan, konsep ini turut mengajar kepada nilai-nilai perpaduan, keamanan, menjauhi kebencian, kasih sayang lain-lain amalan yang baik. Perkara ini sememangnya menjadi teras kepada masyarakat serta ia turut disebut di dalam kitab suci al-Quran.

Malaysia #QuranHour membawa misi al-Kahf iaitu bertadabbur. Boleh Datuk terangkan kepentingan surah ini yang mungkin boleh kaitkan dengan sambutan Hari Kemerdekaan bagi rakyat untuk menghayati nilai-nilai al-Quran?

MOHAMAD NORDIN: Umum mengetahui surah al-Kahf ini mempunyai banyak pengajaran, falsafah berkait rapat dengan kehidupan kita seharian.

Terjemahan ayat itu merangkumi perjuangan, cabaran, ciri pemimpin yang amanah dan sebagainya yang dilihat sangat berkait rapat dengan kita dan atas sebab itulah ia wajar didalami oleh seluruh umat Islam.

Selain itu, bersesuaian dengan masyarakat Malaysia yang bakal menyambut beberapa tarikh penting seperti Hari Kemerdekaan dan Tahun Baharu Hijrah, secara tidak langsung memberikan semangat yang berbeza.

Menyambut kemerdekaan dalam konteks al-Quran supaya ia tidak lari daripada landasan sebenar. Dalam al-Quran itu sendiri turut mempunyai hal-hal berkaitan kenegaraan, disiplin rakyat dan sebagainya. Apa yang saya boleh simpulkan, semua panduan itu ada dalam al-Quran.

Apakah harapan Datuk terhadap program ini?

MOHAMAD NORDIN: Saya berharap agar masyarakat dapat turun beramai-ramai untuk menyokong usaha murni ini dalam memastikan masyarakat terus dekat dengan al-Quran. Selain itu, saya juga berharap agar kerjasama dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) ini akan berterusan dalam mengadakan program #QuranHour pada masa akan datang.

5 HARI - 25 OGOS
5 HARI - 25 OGOS