Kapal buang sisa buangan ditahan APMM

Kapal jenis motor tanker (MT), Darin Star yang disyaki melepaskan bahan buangan berupa minyak diesel ditahan APMM Melaka dan Negeri Sembilan.
Kapal jenis motor tanker (MT), Darin Star yang disyaki melepaskan bahan buangan berupa minyak diesel ditahan APMM Melaka dan Negeri Sembilan.
A
A
A

MELAKA - Sebuah kapal disyaki melepaskan bahan buangan berupa minyak diesel ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan di kedudukan 3.4 batu nautika tenggara perairan Kuala Sungai Baru di sini, semalam.

Pengarah APMM Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Amran Daud berkata, penahanan dilakukan setelah menerima aduan awam melalui panggilan kecemasan (MERS 999) kira-kira jam 5.15 petang semalam.

“Sebuah bot peronda diatur gerakkan ke lokasi kejadian bagi memantau serta mengesahkan maklumat diperoleh dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati bahawa vesel (kapal) terbabit dari jenis motor tanker (MT), Darin Star.

“Kapal berkenaan dipercayai dari Pelabuhan Tanjung Pelepas menuju ke Pelabuhan Kuala Linggi telah menjalankan aktiviti melepaskan sisa buangan tersebut, “ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lokasi kapal ditahan
Lokasi kapal ditahan

Tambahnya, kapal tersebut akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan jika disabitkan kesalahan, ia boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Ini adalah tangkapan kedua Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan yang disiasat di bawah akta yang sama sepanjang Ogos ini,” katanya lagi.

Amran menegaskan bahawa pihaknya akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai juga diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka & Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.