Proses hantar pulang pelarian Rohingya ditangguh lagi

Pelarian Rohingya mengadakan protes pada Januari 2018 sebagai membantah proses penghantaran pulang ke Myanmar.
Pelarian Rohingya mengadakan protes pada Januari 2018 sebagai membantah proses penghantaran pulang ke Myanmar.
A
A
A

COX’S BAZAR - Proses penghantaran pulang ratusan ribu pelarian Rohingya tidak dapat dilakukan seperti yang dirancang selepas golongan itu terus membuat tuntutan tidak mahu kembali ke Myanmar melainkan mereka mendapat hak kerakyatan dan jaminan keselamatan.

Pegawai kanan di Pejabat Pesuruhjaya Pelarian, Bantuan dan Pemulihan, Khaled Hossain berkata, tiada pelarian yang bersetuju untuk pulang ke Myanmar.

Kira-kira 221 keluarga Rohignya ditemubual selama dua hari sejak Selasa lalu menjelang proses penghantaran semula yang dijadualkan pada hari ini.

Kerajaan Myanmar telah memberi kebenaran kepada 3,450 pelarian daripada 1,056 keluarga dari Cox’s Bazar untuk pulang semula ke Rakhine.

November lalu, proses penghantaran semula terpaksa ditangguhkan selama tiada yang secara sukarela mahu kembali ke wilayah bergolak itu malah pelarian Rohingya turut mengadakan protes membantah langkah itu.

Bagaimanapun, situasi dilaporkan tenang pada kali ini walaupun tiada yang hadir untuk menaiki lima bas dan 10 trak yang disediakan untuk proses itu.

“Ini adalah satu petanda yang baik. Tahun lalu, ramai yang melarikan diri menjelang hari penghantaran pulang tersebut. Tetapi, kali ini mereka kelihatan lebih bersedia,” kata Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh, Abdul Kalam.

Difahamkan, kebanyakan pelarian Rohingya juga meletakkan syarat supaya proses itu diletakkan di bawah pengawasan PBB dan bukan kerajaan Myanmar. - AP

Artikel Berkaitan: