11 penagih sedang khayal ditahan

Penagih dadah - Gambar hiasan
Penagih dadah - Gambar hiasan
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis menahan sekumpulan 11 penagih dadah yang sedang khayal dalam satu satu operasi 12 jam yang bermula dari pukul 6.00 pagi semalam di Kampung Lembah Raja, Tasek Gelugor, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner, Noorzainy Mohd Noor berkata, 11 lelaki berumur antara 18 dan 55 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di kawasan berkenaan yang dijadikan sebagai sarang penagih melepaskan gian.

“Ada antara penagih berkenaan tidak sedar kehadiran polis kerana berada dalam keadaan khayal. Hasil pemeriksaan, polis berjaya merampas heroin seberat 30.2 gram, syabu (0.9g) dan air ketum daripada tujuh suspek yang ditahan. Semuanya bernilai RM1,200," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, semua lelaki yang ditahan itu terdiri daripada penganggur dan juga bekerja sebagai buruh malah ada yang pernah ditahan sebelum ini kerana kesalahan yang sama.

“Ujian air kencing mendapati semua suspek positif methamphetamine dan mereka kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Sementara itu Noorzainy berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang juga pengedar dadah dan merampas 30g heroin bernilai RM1,500 dalam serbuan di ladang kelapa sawit Tasek Gelugor, dekat sini pukul 9.00 pagi semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati lelaki yang tidak bekerja itu mendapatkan bekalan dadah daripada satu sindiket sebelum membungkusnya semula dan menjual kepada penagih di sekitar Tasek Gelugor sejak beberapa bulan lepas.

Katanya, lelaki itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Artikel Berkaitan: