Tinggal anak bersendirian dalam kereta satu jenayah

Hussein dan hantaran yang tular di media sosial.
Hussein dan hantaran yang tular di media sosial.
A
A
A

SERDANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran tegas kepada ibu bapa atau penjaga yang bersifat cuai serta lalai terhadap anak-anak yang berada di bawah jagaan dan tanggungjawab mereka.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, menjadi satu kesalahan jenayah buat ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan tanggungjawab memastikan keselamatan kanak-kanak.

Beliau berkata, bukan sahaja keselamatan, ibu bapa serta penjaga juga perlu mengelakkan sebarang kejadian yang boleh mendatangkan kecederaan atau gangguan mental terhadap anak-anak.

"Ia termasuk tindakan cuai membiarkan anak-anak berada bersendirian di dalam kenderaan kerana boleh mengundang bahaya dan keselamatan nyawa.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh didakwa di bawah Akta Kanak-Kanak (AKK) 2001 kerana bertindak cuai," katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Dewan Serbaguna Balai Polis Seri Kembangan yang siap pada 13 Julai 2022.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, tindakan cuai termasuk meninggalkan anak-anak bersendirian di dalam kenderaan boleh mendatangkan bahaya dan menyebabkan kanak-kanak mengalami gangguan mental serta berasa trauma.

Sehubungan itu katanya, orang ramai boleh melaporkan kejadian seumpama itu kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Beliau berkata demikian merujuk kepada satu hantaran tular di laman sosial Facebook yang dimuat naik oleh pemilik akaun Nana Nandos.

Dalam hantaran tersebut, Nana Nandos telah menceritakan bagaimana dia mendengar tangisan kanak-kanak kembar yang ditinggalkan oleh ibu bapa di dalam sebuah kereta yang berkunci.

Ibu bapa mangsa dipercayai telah pergi ke sebuah rumah terbuka sempena sambutan hari raya bersama datuk dan nenek mangsa.

Nana Nandos menceritakan enjin kereta dimatikan dan berkunci, hanya tingkap dibuka sedikit bagi aliran pengudaraan.

Mangsa yang ditemukan dalam keadaan takut dan menangis telah diberikan air kotak bagi menenangkan keadaan.

Nana Nandos mendakwa, setelah menunggu hampir 30 minit bersama mangsa, akhirnya ibu bapa kanak-kanak malang itu tiba dan tidak menunjukkan rasa bersalah.

Berdasarkan hantaran yang dimuat naik itu, Nana Nandos menyatakan dia tidak membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Namun kebanyakan netizen menyarankan agar Nana Nandos membuat laporan polis ekoran kejadian itu.

Sinar Harian cuba menghubungi pemilik akaun Nana Nandos, namun tiada sebarang maklum balas diterima.