JAIP jabatan agama Islam pertama laksana pengimejan digital

Syed Ahmad dan kakitangan JAIP melihat rekod rekod yang disimpan sejak 1940 (Temerloh) hingga rekod 2004.
Syed Ahmad dan kakitangan JAIP melihat rekod rekod yang disimpan sejak 1940 (Temerloh) hingga rekod 2004.
A
A
A

KUANTAN - Data perkahwinan berusia 99 tahun kini boleh didapati dengan mudah menerusi carian hujung jari selepas Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) melaksanakan pengimejan digital.

Pengarah JAIP, Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha berkata, rekod yang dibuat pengimejan digital ialah rekod penceraian dan rujuk orang Islam Temerloh dan Kuantan bermula tahun 1920 hingga 2004 dan akan dilaksanakan di 12 lagi Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di negeri ini.

Menurutnya, JAIP merupakan jabatan agama Islam negeri yang pertama melaksanakan pengimejan digital kepada dokumen lama sekali gus memudahkan pengguna dalam membuat permohonan mendapatkan salinan dokumen atas talian.

"Rekod itu melibatkan Buku Daftar Perkahwinan, Sijil Nikah, Surat Perakuan Nikah, Surat Perakuan Penceraian dan Surat Perakuan Rujuk. Setelah dibuat pengimbasan, data-data dan rekod lama tersebut disimpan dalam satu pangkalan data.

"Proses ini dapat menyelamatkan rekod-rekod perkahwinan dan rujuk itu daripada hilang disebabkan tulisan yang telah pudar, buku daftar atau kertas sijil koyak dan rosak terkena banjir dan kebarangkalian musibah lain.

"Ini kerana sebelum ini rekod itu disimpan secara manual dalam stor atau almari pejabat agama kerana pada tahun-tahun yang dulu belum wujud sistem pangkalan data pendaftaran perkahwinan seperti sekarang," katanya.

Rekod cerai rujuk ada yang berusia hampir 99 tahun iaitu disimpan sejak 1920.
Rekod cerai rujuk ada yang berusia hampir 99 tahun iaitu disimpan sejak 1920.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sistem Pendaftaran Perkahwinan Orang Islam di Negeri Pahang di PAID, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pengimbasan dokumen PAID Temerloh dimulakan pada Julai dan selesai pada Ogos 2019 manakala PAID Kuantan sedang bermula pada bulan ini dan dijangka siap September akan datang.

"Pelaksanaan di kesemua daerah negeri ini akan melihat keberkesanan di dua daerah ini, dari segi efisien, mudah diakses serta menyelamatkan rekod lama. Dulu kita bimbang sekarang kita tidak bimbang kerana rekod lama itu ada nilai sejarah.

"Temerloh dan Kuantan adalah daerah yang mempunyai rekod dan data paling banyak dan mampu siap dalam tempoh masing-masing, selama sebulan," katanya.

Dalam perkembangan lain, JAIP akan menggunakan Sistem Maklumat Perkahwinan Islam Pahang terbaru e-Munakahat menggantikan Sistem Maklumat Perkahwinan Pahang yang lama e-SMPIP, bermula 3 September ini.

Sistem tersebut membolehkan orang ramai membuat permohonan atas talian bagi permohonan Kursus Pra Perkahwinan; Kebenaran Berkahwin; Pendaftaran Perkahwinan; Pendaftaran Rujuk; Permohonan Mendapatkan Salinan Dokumen dan Khidmat Nasihat.

Sementara itu, Permohonan Pendaftaran Perceraian masih menggunakan kaedah mengisi borang secara manual.