MB Perak nasihat Paul Yong bercuti

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Paul Yong Choo Kiong bercuti.

Menurutnya, ia perlu bagi menghormati proses undang-undang kerana Paul akan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan seperti yang diputuskan Peguam Negara.

"Kerajaan negeri menghormati proses pendakwaan itu atas prinsip asas dalam masyarakat iaitu keluhuran perlembagaan. Pada masa sama, kita juga menghormati prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

"Bagaimanapun, bagi menghormati proses undang-undang, saya menasihatkan Paul Yong untuk bercuti daripada tugas-tugas rasmi beliau, termasuk tidak mengambil bahagian dalam apa juga mesyuarat yang melibatkan proses membuat keputusan, sehingga proses perbicaraan selesai," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendakwaan yang akan dikenakan ke atas Paul berkaitan kes rogol amah yang dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, esok.

ARTIKEL BERKAITAN: Rogol amah: Exco Perak dihadap ke mahkamah esok

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, secara peribadi beliau amat terkejut dengan perkara yang berlaku dan berharap keluarga Paul bersabar dalam melalui proses perundangan yang dikenakan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh.

"Saya mendapati prestasi Paul sebagai ADUN Tronoh dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak adalah memuaskan dan beliau memberi kerjasama yang baik kepada semua pihak dalam melaksanakan tanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga ingin menyeru kepada semua penyokong Paul supaya bertenang dan menghormati proses undang-undang dengan tidak melakukan perkara yang boleh merumitkan lagi keadaan," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal meminta orang ramai turut menghormati proses perundangan agar tidak membuat sebarang spekulasi serta tidak mendahului tugas polis, pendakwa raya dan hakim dengan menjatuhkan hukuman di media sosial.

"Sebagai rakyat yang bertanggungjawab kita perlu menaruh sepenuh keyakinan kepada institusi kehakiman negara dalam menegakkan keadilan dan kebenaran. Dalam pada itu, saya memberi jaminan proses perundangan ke atas YB Paul Yong tidak akan menjejaskan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

"Setakat ini tidak ada keperluan untuk melakukan sebarang rombakan drastik dan semua barisan Exco sedia ada mampu memikul tanggungjawab untuk menjalankan urusan pentadbiran secara bersama," katanya.

Pada 8 Julai lalu, Paul dikaitkan dengan tuduhan rogol berikutan laporan polis yang dibuat pembantu rumahnya.

Wanita warga Indonesia berusia 23 tahun itu mendakwa dirogol oleh majikannya di kediaman di Bandar Meru Raya sehari sebelum laporan dibuat.

Paul ditahan pada 9 Julai lalu namun dia dibebaskan dengan jaminan polis setelah pasukan penyiasat berjaya melengkapkan siasatan kes berkenaan dalam tempoh 24 jam.

Kertas siasatan kes itu kemudiannya dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan negeri untuk tindakan seterusnya namun dikembalikan semula kepada pihak polis sebanyak tiga kali bagi melengkapkan beberapa perkara termasuk mendapatkan laporan pakar perubatan dan Jabatan Kimia.