'Warga emas tak sengaja pasang bendera terbalik'

Kejadian bendera Malaysia yang didakwa dipasang secara terbalik di sebuah rumah di Telok Ayer Tawar tular di media sosial. Gambar kecil: Noorzainy Mohd Noor
Kejadian bendera Malaysia yang didakwa dipasang secara terbalik di sebuah rumah di Telok Ayer Tawar tular di media sosial. Gambar kecil: Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

BUTTERWORTH - Bendera Malaysia yang dipasang secara terbalik di sebuah rumah di hadapan sebuah sekolah rendah di Telok Ayer Tawar di sini adalah kejadian tidak disengajakan.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor selepas pihaknya menjalankan siasatan sebaik sahaja perkara itu tular di media sosial.

Menurutnya, polis menerima aduan melalui panggilan telefon daripada orang awam petang tadi sebelum sepasukan polis diarahkan ke rumah berkenaan yang didiami seorang warga emas berusia 87 tahun.

"Lelaki itu pesara polis dan tinggal seorang diri di rumah tersebut. Menurutnya, pada jam 1.45 petang 24 Julai lalu, dia meminta tolong seorang lelaki yang datang mengambil anaknya di sekolah berhampiran untuk memasang bendera Pulau Pinang dan Malaysia di hadapan rumahnya.

"Warga emas itu terpaksa meminta pertolongan dari lelaki terbabit kerana tidak berupaya untuk memasang sendiri kerana faktor usia dan kesihatan. Dia juga mendakwa, selepas bendera itu dipasang dia tidak melihat kembali kedudukan bendera tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Noorzainy berkata, pada 25 Julai lalu, warga emas itu dibawa anaknya perempuannya ke Ipoh, Perak dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta kerana sakit jantung keesokan harinya.

"Pada jam 3 petang tadi, anak warga emas tersebut yang tinggal berhampiran pulang ke rumah bapanya untuk kerja pembersihan da terkejut apabila melihat ramai orang berkumpul di hadapan rumah bapanya itu. Setelah diberitahu, baru dia tahu bahawa bendera Malaysia di rumah bapanya dipasang secara terbalik.

"Siasatan mendapati, tiada penghuni di rumah tersebut dari tempoh pemasangan bendera dilakukan sehingga aduan dibuat. Oleh itu, kita mengesyaki berkemungkinan perbuatan tersebut tidak disengajakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, polis sedang mengesan lelaki yang membantu memasang bendera itu namun sedikit sukar berikutan warga emas berkenaan tidak mengenali dan tidak mengecam wajah lelaki tersebut.

"Bagaimanapun, kita berusaha untuk mengesannya untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

"Bendera tersebut turut dirampas dan warga emas terbabit dibawa balik dari Perak untuk dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara untuk dokumentasi," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai kejadian bendera Malaysia dipasang secara terbalik di sebuah rumah di Telok Ayer Tawar di sini.

Posting tersebut mendapat pelbagai reaksi yang rata-ratanya mengecam tindakan tersebut susulan beberapa kejadian sama berlaku di beberapa negeri lain.