MySC perlu ditukar, pertahan kedudukan bahasa Melayu: ABIM

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mempersoalkan tindakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong menukar nama Hari Sukan Negara (HSN) kepada Malaysia Sports Challenge (MySC).

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, janggal apabila pihak kementerian itu menongkah arus ketika kerajaan mahu memartabatkan bahasa kebangsaan menerusi pelaksanaan mata pelajaran khat dan jawi yang menimbulkan perdebatan umum, baru-baru ini.

“Sebagai bahasa kebangsaan yang dipelihara kedudukannya menerusi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan, amat penting untuk semua pihak lebih peka mengenai penggunaan bahasa Melayu terutama dalam program rasmi membabitkan kerajaan.

“Jika program rasmi kerajaan sendiri tidak memartabatkan bahasa kebangsaan, bagaimana mungkin kita menerapkan kepentingan bahasa ini kepada agensi swasta dan masyarakat?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Steven berkata, beliau tidak melihat penggunaan nama MySC 2019 sebagai merendahkan martabat penggunaan bahasa Melayu.

Menurutnya, penggunaan nama dalam bahasa Inggeris itu mampu meningkatkan lagi prestij program tersebut, bukan sahaja dalam kalangan penggiat sukan tempatan tetapi juga sektor sukan antarabangsa.

Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata, pihaknya tidak menafikan kepentingan bahasa lain, namun menegaskan mentaliti penggunaan istilah bahasa Inggeris pada nama sesuatu program rasmi kerajaan untuk dilihat ‘maju’ atau ‘komersial’ merupakan gejala minda yang terjajah.

“Menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September ini, penting untuk kita mempertahankan kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan kerajaan ini bagai merentap jiwa rakyat dan pendukung bahasa yang cintakan bahasa serta negaranya. Justeru, ABIM mahu pihak kementerian menukar semula nama program tersebut kepada bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau turut mengemukakan beberapa cadangan nama bagi program tersebut antaranya Cabaran Sukan Malaysia, Bulan Sukan Malaysia dan Bulan Sukan Negara.

Dalam pada itu, pihaknya turut menggesa agar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberi peranan serta kuasa yang lebih luas dalam menangani isu memperkecilkan bahasa Melayu yang semakin membimbangkan ini.

“Tiada kempen agresif mendaulatkan bahasa kebangsaan merentas sektor, ditambah pula penguasaan bahasa Melayu yang lemah di peringkat sekolah vernakular dan sekolah persendirian,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN MySC perlu tukar kepada bahasa Melayu