Nelayan asing ditahan bersama 82 bubu naga

Sebanyak 82 bubu naga dirampas dalam operasi Jabatan Perikanan Perak, hari ini.
Sebanyak 82 bubu naga dirampas dalam operasi Jabatan Perikanan Perak, hari ini.
A
A
A

IPOH - Dua nelayan warga Myanmar ditahan selepas dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bubu naga di Pantai Sungai Belukang, Rungkup, hari ini.

Nelayan berusia 38 dan 33 tahun itu ditahan pada jarak 2.38 batu nautika sekitar jam 8 pagi oleh anggota penguatkuasa Jabatan Perikanan Perak yang menerima aduan berhubung kegiatan itu.

Ketua Pangkalan Utama, Mansor Yobe berkata, hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 82 bubu naga berada dalam sampan yang digunakan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut juga mengesahkan bahawa sampan digunakan tidak mempunyai lesen selain menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Bubu naga adalah peralatan menangkap ikan yang telah dilarang penggunaanya berkuatkuasa 1 November lalu kerana boleh menyebabkan spesies anak ikan mengalami kepupusan.

"Untuk itu, mereka didapati melakukan kesalahan dibawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985, semua peralatan berkenaan telah dirampas," katanya.

Dalam kes berlainan, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) berjaya menahan empat warga tempatan yang cuba melarikan diri selepas dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan di luar waktu dibenarkan, semalam.

Mereka membabitkan dua tekong dan dua awak-awak berusia 30 hingga 40-an ditahan kira-kira 5.5 batu nautika di perairan Kerian berhampiran daratan Kuala Kurau oleh bot peronda yang melakukan rondaan operasi sayong pada jam 7.15 malam.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Leftenan Komander Maritim Mohamad Zainal berkata, bot berkenaan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota, namun berjaya disekat.

"Hasil pemeriksaan didapati bot tersebut melanggar syarat lesen dibawah Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan di luar waktu dibenarkan.

"Bot telah dibawa ke Jeti Maritim Kuala Kurau untuk siasatan dan kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.