X

Kindly register in order to view this article
!

Gesa tindakan tegas terhadap Dong Zong

Mardhiah (tengah) membuat laporan polis berhubung isu berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda hari ini.
A
A

SUNGAI PETANI - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menggesa tindakan tegas dilakukan ke atas Dong Zong kerana didakwa mengganggu-gugat keharmonian kaum di Malaysia.

Yang Dipertua GPMS Cawangan Sungai Petani, Mardhiah Mohamad Yusoff berkata, GPMS merasakan bahawa Dong Zong memberi persepsi salah ke atas usaha dan dasar kerajaan terutamanya tentang isu khat dan Jawi.

Menurutnya, sekiranya isu Dong Zong tidak ditangani segera, ia dibimbangi menimbulkan ketegangan kaum di Malaysia.

"Tindakan terbaharu dibuat oleh empat pertubuhan Tionghua dan Tamil di Sungai Petani pada 14 Ogos lepas dengan mendesak kerajaan menarik balik keputusan memperkenalkan khat dan jawi adalah tidak wajar kerana negara ini bebas mengamalkan demokrasi dan saling menghormati agama dan kaum lain," katanya.

Beliau ditemui ketika membuat laporan polis berhubung isu berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda hari ini.

Beliau berkata, selaku NGO yang memperjuangkan isu pendidikan, kenyataan dan gambaran diberikan mereka kepada media dan masyarakat jelas berunsur provokasi keagamaan.

"Jika berterusan dilakukan, rakyat akan menjadi keliru dalam membuat pertimbangan terutama membabitkan bukan Melayu. Adakah dengan mempelajari sesuatu nilai estetika penulisan kaligrafi mana-mana bahasa di dunia boleh menjadikan seseorang akan memeluk agama lain?

"Polemik berunsur hasutan juga dilihat semakin berleluasa tanpa batas di media maya oleh masyarakat bukan Melayu tanpa fakta dan asas kukuh yang dilihat kurangnya jati diri bangsa Malaysia," katanya.

Katanya,hakikat sebenar, tulisan jawi sendiri merupakan sebahagian daripada nilai bangsa Melayu yang sudah lama bertapak di tanah air.

"Akibat daripada provokasi dan hasutan ini maka menjadi kerisauan sekiranya usaha kerajaan dalam mengekalkan keamanan dan perpaduan di Malaysia bakal direncatkan dengan sikap dan kenyataan mereka yang terlalu berlebihan menyemai rasa Islamofobia dalam kalangan masyarakat.

"Oleh itu, saya memohon tindakan dilakukan terhadap Dong Zong yang jelas menghasut, membudayakan persepsi negatif serta mengganggu-gugat keharmonian kaum di Malaysia," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!