Lagi kes Jalur Gemilang terbalik

Mohd Fauze memuat naik hantaran di Facebook beliau malam tadi.
A
A

SABAK BERNAM - Pihak berkuasa diminta menjalankan siasatan terhadap sebuah pasar raya di daerah ini yang menjual Jalur Gemilang bersaiz kecil terbalik.

Seorang bapa yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Fauze, 41, berkata, dia membeli Jalur Gemilang berharga RM0.60 sen di pasar raya itu kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Bagaimanapun, katanya, dia hanya menyedari bendera itu terbalik sejurus tiba di rumah.

"Saya tak perasan kerana setiap bendera yang dijual itu digulung sebelum dilekat dengan pita pelekat.

"Apabila sampai di rumah, saya hairan apabila mendapati Jalur Gemilang yang dibeli terbalik," katanya.

Mohd Fauze berkata, tindakan pasar raya menjual Jalur Gemilang terbalik amat dikesali kerana tidak memikirkan sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Saya amat terkilan kerana ada pihak yang cuba mencabar keharmonian yang kita bina sejak sekian lama, apatah lagi bendera menjadi lambang kedaulatan sesebuah negara," katanya.

Sebelum ini, Mohd Fauze memuat naik hantaran di Facebook meluahkan kekesalannya selepas membeli Jalur Gemilang terbalik di pasar raya berkenaan.

"Pihak berkuasa diminta pantau semua premis yang menjual bendera (Jalur Gemilang) kecil (terbalik).

ARTIKEL BERKAITAN: KPM siasat Jalur Gemilang terbalik dibekalkan ke sekolah

"Kita tidak mahu Jalur Gemilang berkibar di merata tempat dengan cara sebegini," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia