Denda RM20,000, proses semula minyak terpakai tanpa kebenaran

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tindakan berani seorang pemilik sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti memproses semula minyak terpakai tanpa kebenaran Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengundang padah apabila dikenakan hukuman denda RM20,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Bukan itu sahaja, tertuduh, pemilik syarikat Chukai Jaya Enterprise, Tan Yong Long, 61, turut berdepan hukuman enam bulan penjara sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Azman Mustapha selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 34A(6), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34A(8) akta yang sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menjalankan aktiviti kerja memproses semula minyak bahan api terpakai yang dikategorikan di bawah kod SW 307, emulsi minyak mineral-air terpakai, Jadual Pertama, Peraturan 2, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 di Kampung Bukit Kuang, Kemaman, antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari pada 14 Januari lalu.

Aktiviti memproses minyak bahan api terpakai adalah aktiviti yang ditetapkan di dalam Jadual Pertama, Aktiviti 14 (a)(i), Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015, P.U.(A) 195 tanpa mendapat kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa JAS Terengganu, Mohd Zamil Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, pegawai JAS cawangan Kemaman yang menjalankan siasatan terhadap premis berkenaan mendapati terdapat aktiviti memproses semula minyak bahan api terpakai.

Hasil pemeriksaan mendapati aktiviti itu tidak mempunyai sebarang kelulusan EIA daripada JAS.

Artikel Berkaitan: