Penerbitan Utusan Malaysia diteruskan

Abd Aziz (tengah) pada sidang akhbar selepas sesi town hall di Pejabat Utusan Malaysia hari ini.
Abd Aziz (tengah) pada sidang akhbar selepas sesi town hall di Pejabat Utusan Malaysia hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat akhbar Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (Kumpulan Utusan) akan terus beroperasi dengan menerbitkan dua akhbar di bawahnya, Utusan Malaysia dan Kosmo!

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir berkata, penutupan operasi tidak akan dilakukan meskipun syarikat berdepan masalah kewangan yang tenat.

Menurutnya, bagaimanapun pihak pengurusan tertinggi syarikat memutuskan untuk menaikkan harga jualan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! bagi membantu kelangsungan operasi demi masa depan semua warganya yang terlibat.

"Harga akhbar Utusan Malaysia dinaikkan daripada RM1.50 kepada RM2 manakala Kosmo! dinaikkan kepada RM1.50 daripada RM1 bermula Jumaat ini.

“Saya merayu kepada rakyat Malaysia kalau nak bantu Utusan, belilah akhbar, Kalau nak bantu Utusan, belilah iklan, dan langgan akhbar digital," katanya pada sidang akhbar selepas sesi town hall bersama kakitangan Utusan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada pihak yang menghulurkan pelbagai bentuk bantuan sejak Utusan dilanda masalah kewangan, namun berharap ia juga dapat diterjemahkan melalui sokongan terhadap pembelian akhbar dan pengiklanan.

“Bantuan beras mungkin membantu mereka sekarang ini. Tapi untuk jangka panjang kena bagi setiap hari. Tapi jika bantu dengan beli akhbar, akan dapat bantu semua untuk jangka panjang agar Utusan tidak ditutup.

“Kita akan berusaha menyediakan berita yang relevan. Agenda kita adalah agenda negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Saham Utusan Melayu (Malaysia) mengalami penurunan berterusan sejak dibuka semalam susulan makluman oleh syarikat itu kepada Bursa Malaysia yang menyatakan kegagalannya untuk mengemukakan pelan regularisasinya sebagai penerbit Nota Amalan 17 (PN17).

Pada 10.40 pagi, saham syarikat merosot 31.81 peratus kepada 7.5 sen dengan 843,900 saham bertukar tangan.

Dalam maklumannya kelmarin, syarikat itu menyatakan bahawa selepas mengambil kira kerugian yang ditanggung dalam dua suku pertama 2019, serta kekangan aliran tunai, lembaga pengarah mendapati kumpulan itu tidak akan dapat memenuhi keperluan Bursa untuk meningkatkan status PN17.

Pada 30 Jun 2019, kerugian terkumpul Utusan berjumlah RM261.61 juta.

Akhbar Melayu tertua itu disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur pada 1994.

Utusan mengalami kerugian sejak 2012, dan pada Ogos tahun lalu, mencetuskan kriteria PN17 selepas gagal membayar pembayaran prinsipal dan keuntungan kepada Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Maybank Islamic Bhd berjumlah RM1.18 juta.