JIM mahu majikan menggaji Pati terima hukuman berat

Datuk Seri Mustafar Ali
Datuk Seri Mustafar Ali
A
A
A
KOTA KINABALU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berharap pihak Mahkamah dapat menjatuhkan hukuman lebih berat termasuk hukuman sebat ke atas majikan yang menggaji Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati).

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata hukuman sebat sememangnya sudah termaktub dalam Akta Imigresen 1959/63 khususnya kepada pesalah iaitu majikan yang menggaji lebih enam orang Pati.

Beliau bekata berdasarkan rekod sepanjang dua tahun ini, daripada lebih 1,400 majikan dihadapkan ke Mahkamah hanya tiga pesalah dikenakan hukuman sebat.

“Orang mungkin akan kata kejam untuk menjatuhkan hukuman sebat kepada pesalah berkenaan, namun ia amat perlu sekiranya dilihat dari aspek keselamatan dan kedaulatan negara. Kita tidak akan berkompromi dalam perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas program Perhimpunan Setia Berjasa JIM Sabah di sini.

Sementara itu, Mustafar berkata sehingga semalam pihaknya telah melaksanakan 14,500 operasi di seluruh negara sejak awal tahun ini dan menahan lebih 47,000 Pati.
Artikel Berkaitan:


“Untuk Sabah 1,371 operasi dijalankan sejak awal tahun sehingga semalam dengan tangkapan seramai 4,800 Pati dan 62 majikan yang disyaki menggajikan Pati,” katanya. - Bernama