Nelayan perlu lapor SPRM jika ada penyelewengan

Shaharom Nizam bersama nelayan dan juga ahli panel pada Majlis Dialog SPRM bersama Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Kedah di Dewan Komuniti Nelayan Kuala Kedah hari ini.
A
A

KUALA KEDAH - Nelayan di negeri ini diminta tampil membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat penyelewengan dalam sektor perikanan seperti didakwa mereka sebelum ini.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, pengadu tidak perlu gusar mengenai identiti mereka kerana pihak SPRM akan merahsiakan maklumat mereka.

Menurutnya, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan secara rasmi daripada mana-mana pihak berkaitan penyalahgunaan kuasa dalam sektor terbabit.

"Kita ada menerima beberapa surat layang yang menyatakan aduan secara umum tanpa info yang lengkap dan tepat.

"Ada yang sebut di Kuala Kedah, Langkawi dan beberapa tempat tetapi apabila maklumat tidak jelas, sukar untuk pihak kita membuat siasatan," katanya ketika ditemui pada Majlis Dialog SPRM bersama Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Kedah di Dewan Komuniti Nelayan Kuala Kedah di sini.

Shaharom Nizam berkata, beliau lebih terbuka sekiranya pengadu berani untuk tampil berjumpa dengan pegawai SPRM dan berbincang mengenai aduan yang ingin dikemukakan.

"Kalau tak mahu tulis surat lengkap dengan maklumat diri, mereka boleh jumpa dengan pegawai SPRM. Segala maklumat mereka akan dirahsiakan," katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail menyarankan SPRM memantau sektor perikanan negara bagi memastikan sektor itu bebas rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Beliau menyuarakan kebimbangan itu susulan rungutan nelayan yang mendakwa berlakunya penguatkuasaan yang lemah dalam sektor terbabit.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Shaharom Nizam berkata, kajian yang dijalankan oleh SPRM mendapati golongan muda yang berusia antara 25 hingga 40-an lebih berpotensi terlibat dalam gejala rasuah.

Katanya, ia bukan sahaja tertumpu kepada kakitangan awam malah turut melibatkan pekerja di sektor swasta.

"Dalam peringkat usia berkenaan, mereka ini lebih mudah terpengaruh dengan gaya hidup rakan-rakan yang mewah. Apabila ada kuasa dan peluang, ia juga boleh disalahgunakan sehingga terjerat dalam rasuah," katanya.