Perjelas kenapa pilih LRT - Aktivis sosial

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pulau Pinang perlu menjawab kepada pembayar cukai berhubung pemilihan projek pembangunan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang yang akan memulakan kerja fizikal pada suku keempat tahun ini.

Aktivis sosial, Dr Lim Mah Hui berkata, projek mega tersebut dilihat akan menelan kos pembinaan yang terlalu tinggi dengan anggaran RM360 juta setiap kilometer (km).

Menurutnya, selain itu, projek itu juga dilihat akan menimbulkan pelbagai masalah antaranya dari segi kewangan, alam sekitar dan teknikal.

Mah Hui
Mah Hui

"Kerajaan sepatutnya menimbangkan untuk melaksanakan Transit Aliran Bas (BRT) atau Transit Aliran Automasi (ART) yang lebih murah (dari segi kos pembinaan) berbanding LRT yang akan menelan kos berlipat kali ganda.

"Kerajaan negeri dan Pusat perlu menjelaskan kepada pembayar cukai mengapa mereka memilih LRT berbanding ART atau BRT yang akan menelan kos lebih rendah.

"Selain itu, kedua-duanya juga merupakan salah satu mod pengangkutan awam alternatif yang lebih baik, lebih murah dan lebih pantas untuk dilaksanakan," katanya pada sidang media di Pejabat Aliran Kesedaran Negara (Aliran), Jelutong di sini pada Jumaat.

Tambah Mah Hui, Projek LRT akan mengambil masa lebih lama untuk pembinaan yang mana, ia akan menyebabkan gangguan lalu lintas yang lebih teruk.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya Projek LRT ini terus dibina, ia akan menyebabkan gangguan lalu lintas di sepanjang jajaran secara berfasa.

"Ia berbeza dengan ART atau BRT yang boleh dilaksanakan dengan lebih pantas tanpa menyebabkan pengguna jalan raya berhadapan dengan kesesakan lalu lintas terlalu lama," tambahnya lagi.

Ujar beliau, dari segi fleksibiliti dan liputan pula, ART dan BRT menawarkan fleksibiliti yang lebih besar dan boleh meliputi kawasan yang lebih luas.

"Ia membolehkan lebih banyak laluan ditawarkan kepada pengguna serta lebih menjimatkan kos dan menjadikan kos pelaksanaannya lebih rendah.

"Selain itu, unjuran terperinci untuk LRT Pulau Pinang menunjukkan potensi defisit tahunan disebabkan kos operasi yang tinggi dan jumlah penumpang yang lebih rendah daripada jangkaan dengan kerugian besar dalam hasil tiket diramalkan berdasarkan struktur tambang semasa dan anggaran penumpang harian.

"Anggaran kerugian tahunan boleh mencecah lebih setengah bilion ringgit apabila bayaran faedah dimasukkan," katanya.

Sementara itu, bekas Jurutera Pengangkutan Kerajaan Pulau Pinang, Lim Thean Heng berkata, kerajaan negeri terlalu memfokuskan projek LRT dan pembinaan lebuh raya berbanding melihat kepada komponen pengangkutan lain yang boleh diintegrasi.

"Adakah kerajaan negeri berada di 'track' yang betul apabila terlalu memfokuskan kepada lebuh raya dan LRT?

"Pembinaan kedua-dua projek ini jelas akan menelan kos yang sangat tinggi dan siapa akan membayarnya? Jika pihak berkuasa tempatan yang membayarnya, sudah tentu wang itu datang daripada pembayar cukai," katanya.

Thean Heng
Thean Heng

Tambah beliau, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) juga dijalankan tanpa ketelusan kerana pameran awam yang dijalankan tidak membenarkan orang awam mengambil gambar selain tempoh masa yang diberikan terlalu singkat.

Jajaran LRT laluan Mutiara akan bermula dari Pulau Silikon hingga ke Komtar dan seterusnya menyeberang ke Penang Sentral di Seberang Perai.

Jarak jajaran itu dianggarkan lebih kurang 29 kilometer dengan 20 stesen termasuk dua stesen pertukaran, iaitu di Stesen Komtar dan Stesen Penang Sentral.

Pembinaan projek LRT ini disasarkan bermula pada tahun ini dan memerlukan tempoh masa lebih kurang enam tahun dan disasarkan beroperasi pada tahun 2030.

Perolehan projek ini terbahagi kepada tiga komponen utama iaitu Pulau Silikon ke Komtar (Segmen 1), Komtar ke Penang Sentral (Segmen 2), kontrak untuk turnkey kerja-kerja sistem dan stok secara tender terbuka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!