Yew Yin beri keterangan lebih dua jam

Yew Yin enggan mengulas lanjut mengenai keterangan diberikan selepas ditanya media sejurus keluar daripada Balai Polis Jelapang, di sini hari ini.
Yew Yin enggan mengulas lanjut mengenai keterangan diberikan selepas ditanya media sejurus keluar daripada Balai Polis Jelapang, di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Kira-kira dua jam setengah ahli perniagaan, Koon Yew Yin memberi keterangan kepada pihak polis di Balai Polis Jelapang di sini hari ini.

Kelibat Yew Yin dilihat memasuki pekarangan balai polis itu pada jam 2.55 petang berpakai baju putih bersama seorang wanita dipercayai isterinya.

Tidak lama selepas itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Leong Cheok Keng yang juga peguam mewakili Yew Yin turut dilihat hadir di balai polis tersebut kira-kira jam 3.10 petang.

Pengasas Gamuda itu kemudian dilihat keluar dari pekarangan balai polis jam 5.30 petang diiringi Cheok Keng.

Yew Yin yang ditemui media di luar balai polis bagaimanapun enggan mengulas mengenai keterangan yang diberikan sebaliknya memberitahu media beliau tidak boleh memberikan sebarang kenyataan.

Sementara itu, Cheok Keng yang ditemui pemberita memaklumkan bahawa Yew Yin memberikan keterangan di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Yew Yin telah memberikan kerjasama sepenuhnya dan pihak polis setakat ini tidak akan memanggil semula untuk memberikan keterangan.

"Dia hadir sebagai saksi dan dilepaskan sebagai saksi. Tiada penahanan dibuat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Cheok Keng berkata, keterangan diambil oleh seorang pegawai penyiasat berpangkat inspektor dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

Yew Yin, 87, sebelum ini mencetuskan kontroversi dalam tulisan di dalam blognya memperlekeh anggota tentera dengan mengatakan bahawa mereka hanya makan dan tidur, majoriti mereka tidak pernah melepaskan tembakan melainkan menembak papan sasaran dan sepatutnya mereka digunakan bagi mengganti pekerja asing yang diupah di ladang Felda.

Rentetan daripada kenyataan itu, beberapa persatuan bekas tentera mengadakan bantahan dan membuat laporan polis di seluruh negara.

Bagaimanapun pada 14 Ogos lalu beliau mengemukakan permohonan maaf dan menarik balik tulisan di blog tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Yew Yin beri keterangan hari ini